Berita Harian

MAKAF masih terus senaraikan Syakilla

-

Kuala Lumpur: Biarpun kebangkita­n atlet muda seperti P Madhuri disebut-sebut sebagai pengganti kepada Syakilla Salni Jefry Krisnan, Persekutua­n Karate Malaysia (MAKAF) masih tetap menyenarai­kan atlet senior itu untuk ke Sukan SEA dan kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad, berkata nama Syakilla yang berdepan masalah berat badan disenaraik­an dalam ketiga-tiga kategori - bawah 55kg, bawah 61kg dan lebih 61 kg selain dimasukkan ke dalam senarai panjang untuk ke kelayakan Olimpik di Paris pada April, tahun hadapan.

“Pada bulan puasa ini berat badan dia naik sedikit kepada 67.95kg. Kita sayang juga dia, sebab itu kita siap letakkan di bawah tiga kategori. Biarlah dia pilih (kategori mana bertanding) namun kalau dia mahu bermain bawah 55kg, dia perlu bekerja lebih keras.

Kekalkan berat

“Tetapi kalau bawah 61kg juga dia perlu kekalkan berat itu. Jadi cadangan kita adalah biar dia beri tumpuan pada lebih 61kg tetapi apa pun terpulang pada dia,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankua­sa Kerja MAKAF bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

Nur Azmi bagaimanap­un berkata Syakilla yang sebelum ini memilih menjalani latihan di bawah bekas jurulatih negara, Andris Vasiljevs di Latvia perlu beri tumpuan terhadap apa yang dia mahukan.

Sahut cabaran

“Kita tak tolak dia (Syakilla). Kita ambil cabaran Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bantu Syakilla), dapatkan persetujua­n Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) untuk membantu Syakilla. Tetapi akhirnya terpulang pada dia sama ada mahu atau tidak kerana jika dia mahu kembali ke skuad kebangsaan, dia perlulah ikuti sistem sedia ada,” katanya.

Syakilla yang sebelum ini pernah menduduki ranking teratas dunia kategori bawah 55kg, bergelut dengan masalah berat badan hingga menyebabka­n dia terlepas beberapa siri kejohanan luar negara untuk mengumpul mata kelayakan Olimpik pada tahun lalu sekali gus menyebabka­n rankingnya jatuh.

Beri persaingan

Mengenai Madhuri yang menduduki ranking nombor satu dunia bagi kategori kumite 50kg bawah 21 tahun, Azmi berkata, atlet muda itu dilihat sebagai pesaing terbaik kepada Syakilla.

“Kita sudah ada perancanga­n bersama MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk masa depan Madhuri. Bukan kita lupakan terus Syakilla tetapi kita mahu memberi persaingan kepada Syakilla supaya dia dapat kembali bangkit,” katanya yang turut berkata Madhuri dan seorang lagi atlet, A Somanroy disenaraik­an ke dalam Program Podium.

Beliau berkata, senarai nama akhir atlet karate yang akan dihantar ke Sukan SEA adalah pada 30 Ogos ini bagi penyertaan dalam sembilan kategori.

 ?? [ FOTO OWEE AH CHUN / BH] ?? Nur Azmi (kiri) melihat senarai nama atlet karate pada sidang media selepas mesyuarat jawatankua­sa kerja sukan karate di MSN Bukit Jalil, semalam
[ FOTO OWEE AH CHUN / BH] Nur Azmi (kiri) melihat senarai nama atlet karate pada sidang media selepas mesyuarat jawatankua­sa kerja sukan karate di MSN Bukit Jalil, semalam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia