Berita Harian

SUSPEK WARGA ASING DITAHAN

Mayat mangsa ditemui pemilik rumah sewa dengan kesan kelar di dada, leher, kepala

- Oleh Khairul Azran Hussin, Mohd Iskandar Ibrahim, Safeek Affendy Razali, Nor Azizah Mokhtar, Amran Yahya dan Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bharian.com.my

Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang hilang sejak 8 Mei lalu ditemui dibunuh kejam dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala di kondominiu­m sewaannya di Cyberjaya. Tiga warga asing, dua dari Nigeria dan seorang Pakistan ditahan semalam disyaki ada kaitan pembunuhan ketua jururawat di Hospital Serdang itu

Ketua jururawat Hospital Serdang (HS), Siti Kharina Mohd Kamarudin yang dilapor hilang sejak 8 Mei lalu, ditemui dibunuh dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala di kondominiu­m sewanya di Third Avenue, Cyberjaya, petang kelmarin.

Dua pisau dengan kesan darah turut ditemui di dalam bilik unit kediaman mangsa.

Tiga warga asing, iaitu seorang lelaki Nigeria, seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita Nigeria yang disyaki ada kaitan dengan kehilangan dan pembunuhan mangsa, ditahan di tiga lokasi berasingan di ibu kota, semalam.

Wanita Nigeria ditahan di Taman Damai Indah, Cheras, pada jam 3 pagi, suspek kedua lelaki warga Pakistan ditahan sejam kemudian di Taman Sri Rampai, Setapak di sini.

Suspek ketiga yang juga suspek utama dan dikenali sebagai Aliwajuwom Gilbertalo­wonle @ Juwon, 36, ditahan jam 3 petang semalam, di sebuah kafe di pusat beli-belah Cheras Sentral, Cheras.

Difahamkan, suspek ketiga adalah individu terakhir dilihat bersama mangsa berdasarka­n rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kondominiu­m itu.

Kenal suspek

Suspek ketiga dan mangsa dipercayai berkenalan sejak dua tahun lalu.

Menurut polis, ketiga-tiga suspek adalah rakan perniagaan dan memiliki sebuah kedai menjual telefon bimbit di Plaza Low Yat, di ibu negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata mayat Siti Kharina, 40, ditemui dalam keadaan tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di beberapa bahagian badan.

“Mayatnya ditemui oleh pemilik unit kediaman yang kebetulan datang ke rumah itu semalam (kelmarin), untuk membaiki mesin basuh bersama dua pekerja penyelengg­ara, sekitar jam 2.30 petang.

“Bagaimanap­un, pemilik kondo itu terpaksa memasuki rumah berkenaan menggunaka­n kunci pendua, selepas mangsa gagal dihubungi sejak 9 Mei lalu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, semalam.

Noor Azam berkata, apabila memasuki premis itu, pemilik kondominiu­m melihat kesan darah mengalir keluar dari sebuah bilik yang berkunci, sebelum menghubung­i polis.

“Hasil pemeriksaa­n polis membawa kepada penemuan mayat wanita dalam keadaan berlumuran darah dan berbau.

“Mangsa dipercayai dibunuh empat atau lima hari lalu. Siasatan lanjut mendapati mangsa adalah Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pakar forensik yang menjalanka­n siasatan di tempat kejadian, menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes itu, termasuk dua pisau dengan kesan darah.

Kehilangan Siti Kharina disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubung­i ahli keluarga mangsa, untuk bertanya mengenai keadaannya kerana tidak hadir tugas pada 9 dan 10 Mei lalu, selain tidak dapat dihubungi.

Adik mangsa kemudian ke kuarters HS pada 10 Mei dan mendapati kakaknya tiada di rumah dan tidak dapat dihubungi, sebelum membuat laporan polis.

Pihak pengurusan HS mengesahka­n Siti Kharina dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu, pada jam 4 petang, 8 Mei lalu.

Mangsa dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih dengan nombor pendaftara­n BEY 1361.

Berjauhan dari keluarga

Siti Kharina sudah lima tahun bertugas di HS dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuann­ya, yang berumur 14 tahun dan kembar berusia 10 tahun.

Suami dan anak-anak Siti Kharina menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ditanya sama ada Siti Kharina ialah rakan perniagaan kepada semua suspek, Noor Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Siasatan awal polis juga mendapati mangsa mempunyai dua rumah sewa.

“Keluarga dan rakan mangsa juga tidak tahu mangsa menyewa rumah di Kondominiu­m Third Avenue, di mana mayatnya ditemui,” katanya mengesahka­n kereta mangsa juga ditemui di tempat letak kereta kondominiu­m sama.

Noor Azam menolak kemungkina­n mangsa dirompak kerana semua barang berharga miliknya tidak hilang, selain tiada kesan pecah masuk.

“Kita sedang menunggu laporan penuh bedah siasat, termasuk kemungkina­n dirogol,” katanya.

Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang, hari ini, untuk perintah reman.

 ??  ??
 ??  ?? Suami Siti Kharina, Mohd Udzir Khalid, (40) ditenangka­n ahli keluarga sebaik jenazah isterinya tiba dirumah mereka di Kampung Tengah, Seri Menanti, Kuala Pilah, petang semalam.
Suami Siti Kharina, Mohd Udzir Khalid, (40) ditenangka­n ahli keluarga sebaik jenazah isterinya tiba dirumah mereka di Kampung Tengah, Seri Menanti, Kuala Pilah, petang semalam.
 ??  ??
 ??  ??
 ?? [FOTO FAIZ ANUAR/BH] ?? Noor Azam menunjukka­n gambar seorang daripada suspek yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, semalam.
[FOTO FAIZ ANUAR/BH] Noor Azam menunjukka­n gambar seorang daripada suspek yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, semalam.
 ??  ?? Siti Kharina Mohd Kamarudin
Siti Kharina Mohd Kamarudin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia