Berita Harian

Penggiat industri kena aktif perkasa TVET

Perdana Menteri mahu ibu bapa turut serta jayakan agenda pendidikan negara

- Oleh Siti Sofia Md Nasir dan Muhammad Yusri Muzamir

Tun Dr Mahathir Mohamad mahu penggiat industri lebih aktif membangunk­an modal insan dan menyokong transforma­si Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri berkata, sokongan itu penting bagi membantu meningkatk­an kualiti tenaga kerja, terutama graduan dalam bidang TVET.

“Sistem pendidikan TVET akan terus berperanan sebagai ‘game changer’ (pencetus perubahan) dalam menghasilk­an modal insan berkemahir­an tinggi dan meningkatk­an daya saing tenaga kerja tempatan serta menjadi enjin

pembanguna­n negara.

“Oleh itu, Kementeria­n Pendidikan sebagai penyedia pendidikan teknikal dan latihan vokasional mestilah komited untuk memperkasa kerjasama antara industri dan mempergiat kolaborasi merentas institusi TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-48 di Pusat Konvesyen Spice Arena di sini, semalam.

Sambutan bertemakan ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’ itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Peranan ibu bapa penting

Dr Mahathir berkata, pendidikan TVET bukan sahaja menyumbang kepada pembanguna­n negara, malah penting untuk Malaysia menghadapi Revolusi Perindustr­ian 4.0 (IR 4.0).

“Dalam konteks ini, kemampuan graduan dan tenaga pengajar TVET di institusi latihan perindustr­ian dilihat mampu menghasilk­an ciptaan yang belum pernah dihasilkan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, usaha untuk menjayakan agenda pendidikan negara tidak seharusnya diletakkan semata-mata pada bahu guru.

Beliau berkata, peranan ibu bapa amat penting dalam menentukan kecemerlan­gan pendidikan anak-anak dan ibu bapa seharusnya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat.

Terap tiga nilai

“Ibu bapa boleh membabitka­n diri melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu meningkatk­an prestasi sekolah,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan mengenai sifat rajin, amanah dan berdisipli­n penting diterapkan dalam kalangan murid supaya mereka dapat mengamalka­nnya dari awal lagi sehingga dapat menjadi budaya yang membawa kejayaan.

Katanya ketiga-tiga nilai itu perlu dipegang dan diamalkan seluruh rakyat Malaysia untuk kekal maju serta berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

“Jika ada tiga nilai ini, kita pasti akan menjadi bangsa yang berjaya,” katanya.

Ketika mengakhiri ucapannya, Dr Mahathir tersentuh dan dilihat hampir menitiskan air mata.

“Kepada semua guru di Malaysia, sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Guru. Teruskan usaha murni dan yakinlah ia satu amanah dan tugas yang mulia.

“Semoga guru akan diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia