Berita Harian

Sambutan Ramadan tetap meriah di Putrajaya

- Penulis adalah wartawan Berita Harian Putrajaya

Kesempatan bertemu sekali lagi dengan Ramadan sememangny­a dinanti dan menjadi anugerah kepada umat Islam. Bulan mulia yang penuh keberkatan ini mengajar umat Islam lebih bersabar dan berdisipli­n, selain menjadi kesempatan menggandak­an pahala.

Di Malaysia, Ramadan disambut dengan penuh kegembiraa­n dan kesyukuran. Di mana-mana saja, masjid diimarahka­n dengan pelbagai aktiviti terutama solat tarawih di sebelah malam, selain kewujudan bazar Ramadan yang menjadi tumpuan untuk membeli juadah berbuka puasa.

Di Putrajaya sendiri, sambutan Ramadan mempunyai keunikanny­a tersendiri. Kemeriahan di Pusat Pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n ini begitu dirasai, terutama di sebelah petang, selepas warganya yang sebahagian besar penjawat awam pulang dari kerja.

Berbeza dengan daerah lain yang mempunyai banyak bazar Ramadan, Putrajaya hanya mempunyai satu bazar Ramadan terletak

di Presint 3, sekali gus menjadi tumpuan utama orang ramai membeli persiapan untuk berbuka puasa.

Terletak bersebelah­an Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), bazar ini disertai 300 peniaga yang menyediaka­n lebih 1,000 menu, yang pastinya membuatkan pengunjung rambang mata. Antara gerai yang menjadi tumpuan di bazar pada kali ini adalah gerai Murtabak Legend dan Murtabak Keramat, Mi Tonggek dan Tepung Pelita Paya Jaras.

Setiap kali lalu, pasti ramai sedang beratur mendapatka­n juadah berkenaan. Selepas membeli juadah, pastinya lokasi untuk berbuka puasa menjadi tumpuan. Selain hotel dan restoran yang menawarkan bufet dengan pelbagai sajian, lokasi ‘outdoor’ turut menjadi pilihan warga di bandar ini untuk berbuka puasa.

Presint 3 jadi tumpuan

Pekarangan di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPJ), Presint 3, atau dikenali sebagai Laman Iftar adalah antara lokasi menjadi tumpuan utama. Seawal jam 6 petang, padang hijau itu dipenuhi orang ramai yang membentang tikar dan duduk menikmati juadah sebaik sahaja azan Maghrib berkumanda­ng.

Amalan berbuka di padang atau ‘oudoor dining’ itu menjadi kebiasaan di Putrajaya sejak beberapa tahun lalu, sejak trend itu bermula di Padang Majlis Perbandara­n Kuantan (MPK) 1, Kuantan. Sama seperti di Kuantan, faktor bazar Ramadan dan masjid yang dekat menjadi antara faktor utama lokasi itu digemari, selain suasana lebih santai dan segar berbanding berbuka puasa di kedai atau di rumah.

Presint 3 juga turut menjadi lokasi warga Putrajaya membuat persiapan menyambut Aidilfitri, iaitu di Anjung Syawal yang terletak berhadapan Kompleks PPJ. Anjung Syawal beroperasi dalam khemah berhawa dingin menempatka­n lebih 300 peniaga menjual barangan untuk hari raya.

Katakan apa sahaja, baju kurung, baju Melayu, kasut dan kuih raya, semuanya ada. Bagi peminat batik yang kini menjadi trend, mungkin Anjung Syawal perlu dimasukkan dalam lokasi pencarian persiapan Aidilfitri.

Bagi menunaikan solat tarawih, dua masjid utama di Putrajaya menjadi tumpuan. MTMZA dan Masjid Putra di Presint 1 dibanjiri dengan kedatangan umat Islam bukan sahaja dari Putrajaya tetapi dari seluruh Lembah Klang, yang berjemaah bersama-sama mengerjaka­n solat sunat yang hanya dapat dilakukan pada Ramadan.

Dikenali sebagai lokasi yang menjadi tumpuan untuk beriadah, Putrajaya juga tetap meriah pada malam Ramadan dengan aktiviti sukan dan rekreasi. Rata-ratanya berjalan, berlari dan berbasikal di sepanjang jalan utama di Presint 2 dan 3, sejak petang hingga lewat malam.

Rancang, nilai

Sama ada dari segi ibadah dan rutin harian seperti perbelanja­an, kita tentu sudah dapat melihat apa yang boleh diperbaiki untuk meneruskan hari-hari mendatang dalam Ramadan ini. Pembaziran, terutama makanan adalah amalan perlu dielakkan. Sudah tentu selepas menahan lapar dan dahaga, selera kita terbuka untuk memakan apa sahaja, yang kemudian belum tentu mampu dihabiskan.

Justeru, kita perlu merancang dan membuat penilaian supaya matlamat sebenar Ramadan tidak tersasar. Semoga Ramadan kali ini memberi seribu satu keberkatan kepada kita semua.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia