Berita Harian

Siti Kharina baik hati, ceria

Keluarga terkejut dimaklum kematian ketua jururawat

-

Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang ditemui mati dibunuh kelmarin, disifatkan sebagai seorang individu yang baik hati dan suka membantu.

Sepupu Allahyarha­m, Ali Azizan Mohd Salleh, 40-an, berkata kali terakhir mereka bertemu pada majlis perkahwina­n seorang ahli keluarga di ibu negara pada November tahun lalu.

“Arwah seorang yang baik dan terkenal dengan sikap baik hati, rakan sekerjanya pun senang dengan sikapnya yang suka membantu.

“Arwah juga seorang individu yang penuh bersemanga­t dan amat berwawasan untuk memajukan diri serta kerjayanya.

“Saya dan ahli keluarga yang lain terkejut selepas menerima berita kejadian menimpanya, menerusi kumpulan Whatsapp keluarga, pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang (HS), di sini, semalam.

Sementara itu, seorang rakan sekerja mangsa yang enggan dikenali, menyifatka­n Siti Kharina seorang yang amat disenangi.

“Mudah bekerja dengannya kerana dia seorang yang amat disenangi rakan sekerja lain. Memang tidak pernah timbul masalah selama beberapa tahun kami bekerja dengannya,” kata wanita itu.

Seorang lagi rakan sekerja mangsa yang turut tidak mahu dikenali, menganggap Siti Kharina seorang yang ceria dan periang.

“Saya mengenalin­ya sejak dia mula bertugas di sini (HS) lima tahun lalu dan dia memang seorang yang happy go lucky, memang tidak bermusuh dengan sesiapa.

“Saya amat terkejut sebaik mendapat tahu pagi tadi (semalam) yang arwah meninggal dunia dan menjadi mangsa bunuh,” katanya.

Bedah siasat tiga jam

Terdahulu, mayat arwah dibedah siasat lebih tiga jam bermula jam 12 tengah hari, semalam.

Jenazahnya kemudian dibawa balik ke kampung halamannya di Kampung Tengah, Sri Menanti, Negeri Sembilan, untuk dikebumika­n.

Sementara itu, rakan sekampung Allahyarha­m, Nor Afida Abu Hassan, 42, berkata dia amat terkejut mendengar berita kematian Siti Kharina.

Nor Afida berkata, sejak kehilangan rakannya ada 8 Mei lalu, dia sering berdoa supaya wanita itu ditemui semula dalam keadaan selamat.

“Saya mengenali Siti Kharina sejak berusia enam tahun, malah kami berkawan lama dan tinggal berjiran. Arwah seorang sahabat yang baik, mesra dan mudah bergaul.

“Berita ini amat mengejutka­n, tidak sangka arwah meninggal dunia dalam keadaan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Tengah, Seri Menanti.

Nor Afida berkata, Siti Kharina bertugas di Hospital Serdang sejak 2014 dan tinggal berjauhan dengan suaminya, yang bekerja sebagai pemandu di Pusat Dialisis Kuala Pilah.

“Setiap hujung minggu arwah pulang ke rumah untuk menjenguk suami dan tiga anak perempuan berusia antara 10 hingga 14 tahun.

“Tetapi minggu lalu kelibat arwah tidak kelihatan apabila dilaporkan hilang,” katanya.

Nor Afida berkata, sepanjang kehilangan­nya, anak arwah sering datang ke rumahnya untuk memaklumka­n perkembang­an mengenai ibu mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia