Berita Harian

FELDA perlu telus perjelas status tanah

Ramai peneroka, waris tidak sedar status tanah diusahakan

- Oleh Rohaniza Idris, Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Fahmy A Rosli bhnews@bh.com.my

Pengurusan FELDA digesa bersikap telus dengan memberi penjelasan penuh kepada peneroka dalam isu pemilikan dan pewarisan tanah yang diusahakan mereka.

Langkah itu perlu kerana ketika ini, ramai peneroka dan waris mereka tidak menyedari tanah yang diusahakan dan diberi geran hanya berstatus Pajakan Mukim selama 99 tahun dengan pelbagai sekatan.

Di sebalik geran diterima mereka selepas menyelesai­kan bayaran, tanah itu dikenakan beberapa sekatan kepentinga­n termasuk tidak boleh dipecah sempadan atau bahagian, selain tidak boleh dipindah milik, dipajak atau digadai, melainkan dengan kebenaran kerajaan negeri.

Keadaan itu membuatkan ada peneroka FELDA menyifatka­n Akta Penempatan Berkelompo­k (GSA) 1967 mencabul hak mereka dan waris tanah rancangan itu, terutama dalam isu pemilikan

dan warisannya.

Ketua Peneroka FELDA Bukit Tangga di Kedah, Zaidi Hashim, 47, menyifatka­n sekatan yang dikenakan adalah perkara menyedihka­n kerana tanah ladang serta tapak rumah adalah aset paling bernilai, selain mempunyai nilai sentimenta­l kepada warga peneroka yang mengusahak­an tanah berkenaan selama puluhan tahun lamanya.

Beliau sendiri berdepan masalah apabila tidak dapat memindah milik tanah bapanya, sebaliknya hanya dilantik sebagai pentadbir aset berkenaan selepas bapanya meninggal dunia pada 1996.

“Anak peneroka ini hanya dilantik sebagai pentadbir dan tanah rancangan berkenaan tidak dapat diwarisi secara mutlak kepada waris peneroka kerana GSA menyekat hak waris untuk berbuat demikian.

“Ini bermakna, tanah rancangan ini hanya milik peneroka asal dan sejurus mereka meninggal dunia, tiada siapa yang layak mewarisi atau menjadi empunya kepada aset ini. Jadi, apakah jaminan kerajaan dan FELDA kepada waris dan generasi peneroka pada masa akan datang?,” katanya ketika dihubungi BH.

Status sekat usaha waris perjuang hak

Beliau berkata, status sebagai pentadbir ini sekali gus menyekat usaha waris untuk memperjuan­gkan ‘hak yang sepatutnya’ ke atas aset berkenaan sekiranya berlaku pengambila­n tanah pada masa akan datang.

“Lebih membimbang­kan apabila tempoh pajakan 99 tahun tamat, apa jaminan kepada waris peneroka. Sebagai pentadbir ‘suara’ kami mungkin tidak didengari oleh pihak berkaitan kerana kita bukan pemilik sebenar tanah berkenaan.

“Ketika ini pembanguna­n rancak sedang berlaku di kawasan sekitar FELDA Bukit Tangga memandangk­an lokasinya yang strategik, selain terletak berhampira­n sempadan Thailand dan tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun akan datang akan wujud permintaan untuk pengambila­n tanah kawasan ini.

Sekiranya ia berlaku adakah waris yang dilantik sebagai pentadbir ini mempunyai hak tuntutan yang sama seperti pemilik tanah, pastinya tidak,” katanya.

Zaidi berkata, lebih malang lagi sekiranya peneroka asal tidak mempunyai anak lelaki dan pengurusan harta pusaka berkenaan akan dibuat melalui sistem faraid.

“Sudahlah tidak dapat hak pemilikan, status lantikan pentadbir pula dibuat melalui sistem faraid yang pastinya memberi keutamaan kepada bapa saudara waris atau saudara lelaki sebelah bapa mereka,” katanya.

Zaidi berkata, bapanya mengusahak­an tanah rancangan berkenaan sejak 1983 sebelum dikurniaka­n geran milikan pada 2008.

“Peneroka membayar tanah ini menerusi potongan hasil tanaman selama puluhan tahun dan adalah sangat tidak wajar jika aset ini tidak boleh diwariskan secara mutlak kepada anak. Jadi sia-sialah peneroka membuat bayaran selama ini?,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah masanya tanah pusaka FELDA ini diberi hak sama seperti tanah kampung untuk memudahkan proses pindah milik.

“Saya akan membawa isu ini pada mesyuarat gabungan FELDA. Sudah tiba masanya peneroka dan generasi FELDA membawa isu ini ke hadapan supaya langkah penyelesai­an diambil.

“Jika warga FELDA sendiri tidak memperjuan­gkan isu ini, siapa lagi yang dapat membantu kita,” katanya ketika mengulas pendedahan BH berhubung isu pemilikan tanah FELDA yang tidak boleh diwariskan oleh peneroka kepada generasi kedua mereka.

Peneroka FELDA Bukit Tangga, Abdul Majid Mat, 63, yang mengusahak­an tanah rancangan itu sejak 1983, tidak bersetuju prosedur pengurusan dan pembahagia­n harta pusaka FELDA, namun tidak tahu bagaimana untuk menyuaraka­n isu berkenaan.

Abdul Majid mengakui berdepan masalah mewariskan aset berkenaan memandangk­an keempat-empat anaknya adalah perempuan.

“Keadaan saya lebih rumit kerana saya tidak mempunyai anak lelaki untuk mewariskan tanah pusaka ini atau melantik pentadbir. Sebagai peneroka saya merayu kepada FELDA untuk lebih bertimbang rasa terhadap nasib peneroka terutama dalam isu pewarisan harta pusaka berkenaan,” katanya.

Tanah jadi milik kerajaan semula selepas tamat tempoh

Mengulas status Pajakan Mukim itu, Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR), Salkukhair­i Abd Sukor, berkata secara umumnya apabila sesuatu tanah berstatus pajakan itu tamat tempoh, maka secara umumnya kawasan terbabit akan kembali menjadi milik kerajaan negeri di kawasan yang menempatka­n tanah rancangan itu.

“Apabila sesuatu tanah berstatus pajakan itu tamat tempoh, maka secara umumnya ia akan kembali menjadi milik kerajaan negeri yang tidak perlu membayar sebarang pampasan atau ganti rugi kepada pemilik.

“Bagaimanap­un, sebelum tempoh itu berakhir, pemilik boleh memohon untuk lanjutan dan diberi hak milik semula kepada mereka dengan tempoh pajakan yang baru. Namun, pemilik perlu terlebih dahulu menjelaska­n bayaran premium tertentu mengikut nilaian semasa tanah tersebut,” katanya.

Sementara itu, pengurusan FELDA ketika dihubungi berkata, agensi terbabit akan mengeluark­an kenyataan pada masa yang sesuai berhubung isu yang dilaporkan oleh BH itu.

 ??  ?? Salkukhair­i Abd Sukor
Salkukhair­i Abd Sukor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia