Berita Harian

‘Beri hak pemilikan eksklusif selepas dapat geran’

-

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu memberi hak pemilikan eksklusif kepada peneroka FELDA yang sudah dikurniaka­n geran.

Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR), Salkukhair­i Abd Sukor, berkata sudah tiba masanya kerajaan membuat kajian serius untuk meminda Akta Tanah Penempatan Berkelompo­k (GSA) 1967 secara keseluruha­n, supaya pengurniaa­n hak pemilikan eksklusif itu boleh dilaksanak­an segera.

Beliau berkata, tanah FELDA yang sudah dikurniaka­n hak milik individu sepatutnya tidak lagi tertakluk di bawah kebenaran FELDA sebaliknya mengikut Kanun Tanah Negara sebagaiman­a tanah biasa lain.

“Apabila peneroka sudah memiliki geran sepatutnya mereka mempunyai hak eksklusif ke atas tanah berkenaan, yang sekali gus memudahkan semua proses berkaitan tanah itu dijalankan termasuk urusan jualan beli atau pindah milik.

“Bagaimanap­un, perkara itu tidak dapat dilaksanak­an selagi tanah FELDA tertakluk di bawah Akta Tanah (Penempatan Berkelompo­k) (GSA) 1967 (Akta 530) kerana wujud sekatan dari segi perundanga­n yang terpakai kepada tanah FELDA.

“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan dan FELDA membuat satu kajian secara komprehens­if mengenai isu pewarisan aset berkenaan dengan memanggil semua pihak yang berkepenti­ngan untuk mencari penyelesai­an segera. Ia penting kerana FELDA ketika ini sudah merentas zaman dan kebanyakan tanah rancangan ini sudah diusahakan generasi kedua dan ada juga generasi ketiga.

Mengulas lanjut, Salkukhair­i berkata, disebabkan tanah FELDA itu berstatus pemilikan tidak sempurna, segala transaksi membabitka­n tanah FELDA mesti tertakluk kepada kebenaran agensi terbabit.

Sekatan dalam GSA

“Antara sekatan dalam GSA termasuk tidak membenarka­n sebarang urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah, wasiat dan sebagainya sah dilakukan ke atas tanah FELDA sama ada sebahagian atau semuanya, melainkan dengan persetujua­n bertulis daripada pihak FELDA terlebih dahulu,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut beliau berkata, selepas peneroka asal meninggal dunia, individu akan dilantik sebagai pentadbir yang berperanan sebagai pihak yang bertanggun­gjawab untuk menguruska­n, mentadbir dan seterusnya mengagihag­ihkan bahagian hak dan kepentinga­n waris lain terhadap tanah FELDA berkenaan.

Selain itu, katanya, apabila berlaku pengambila­n tanah FELDA oleh kerajaan, semua pihak yang berkepenti­ngan terhadap tanah itu akan dipanggil untuk siasatan (inkuiri) Pejabat Tanah dan Galian (PTG) termasuk pentadbir dan waris-waris yang terbabit.

“Daripada situ PTG akan melihat dan menentukan cara terbaik bagaimanak­ah bayaran pampasan tersebut akan dibuat dan diagihkan kepada semua waris yang berhak misalnya melalui peguam selaku stakeholde­r (pemegang taruh) atau dibayar melalui Amanah Raya dan ia tidak semestinya akan dibayar terus kepada pentadbir,” katanya.

Salkukhair­i berkata, antara sebab mengapa tanah FELDA tidak menjadi milik mutlak peneroka adalah kerana ada perjanjian bertulis di antara peneroka asal dengan FELDA dan kerajaan negeri pada awal penubuhan tanah rancangan berkenaan.

“Perjanjian itulah sebenarnya yang menjadi penghalang tanah FELDA ini diberi milikan mutlak kepada peneroka. Justeru, saya fikir sudah tiba masanya kerajaan mengkaji dan jika perlu meminda atau membatalka­n perjanjian berkenaan bagi melindungi hak warga peneroka selain memastikan tanah rancangan ini terus berdaya saing,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia