Berita Harian

Bayar wang bebaskan ahli keluarga di kem: Saksi

Dua akaun rakyat Malaysia bukti transaksi

-

Suruhanjay­a Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, diberitahu warga asing mendeposit wang ke akaun bank rakyat Malaysia sebagai syarat membebaska­n ahli keluarga masing-masing dari kem Wang Kelian dan kem tahanan di Thailand.

Inspektor Mohd Suffian Abdul Rashid yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan

Wang Haram Bukit Aman, berkata dua rakyat Malaysia yang menerima wang daripada warga asing dalam akaun masing-masing ialah Ku Hamid Ku Musa dan Arifin Abdullah Ali.

Menurutnya, siasatan mendapati seorang individu warga Myanmar mendeposit RM4,000 ke akaun Ku Hamid pada 2 Oktober 2014 untuk membebaska­n anak saudaranya dari kem Wang Kelian, manakala RM5,800 dimasukkan ke akaun Arifin oleh seorang individu Rohingya bagi membebaska­n bapa saudaranya yang ditahan di sebuah kem tahanan di Thailand.

Mohd Suffian berkata, siasatan terhadap Ku Hamid yang juga warga Malaysia, tetapi dilahirkan di Myanmar dan bekerja sebagai buruh, mendapati ada lebih RM19,000 dalam akaun banknya selain memiliki cek jurubank sebanyak RM21,000.

Menurutnya, Ku Hamid memberitah­u dia menyerahka­n kad ATM miliknya untuk digunakan oleh seorang warga Thailand bernama Kaw, namun cubaan polis mengesan Kaw tidak berjaya.

Wang, harta dilucut hak

Mohd Suffian berkata, wang dan harta termasuk kenderaan milik Ku Hamid serta Arifin kemudianny­a dilucut hak mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Wakil media dan orang awam hanya berpeluang mendengar prosiding RCI selama kira-kira 40 minit hari ini iaitu ketika Mohd Suffian memberikan keterangan.

Selepas Mohd Suffian menamatkan keterangan­nya, RCI dijalankan secara tertutup dari 10.40 pagi hingga tamat pada 1.15 petang kerana keterangan yang diberikan saksi adalah maklumat sulit dan sensitif.

Difahamkan tiga saksi memberikan keterangan secara tertutup iaitu dua orang awam dan seorang lagi ialah saksi pertama RCI yang dipanggil semula iaitu Koperal Mat Ten yang bertugas di Batalion Tiga, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bedong, Kedah.

Sebanyak 35 saksi sudah memberikan keterangan di hadapan RCI sepanjang 11 hari prosiding setakat ini.

Menurut kenyataan Kementeria­n Dalam Negeri, semalam, RCI akan bersambung pada 27 Mei.

 ??  ?? Mohd Suffian Abdul Rashid
Mohd Suffian Abdul Rashid

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia