Berita Harian

8 Julai sebutan semula kes Lokman, tiga individu lain

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, semalam, menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan tiga lagi yang didakwa, susulan insiden beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) dikatakan dikasari di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Mac lalu.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menetapkan tarikh itu, selepas pihak pendakwaan memaklumka­n kepada mahkamah terdapat beberapa dokumen masih dalam siasatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim memberitah­u mahkamah, pihaknya menyerahka­n lapan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan.

Pada 28 Mac lalu, Lokman, 46, Ketua UMNO Petaling Jaya, Abdul Mutalif Abdul Rahim, 48; kerani di pejabat UMNO Lembah Pantai, Salmon Arif Budiman Muchlis, 48, dan penghantar surat firma guaman, Mohd Norzakifah Mohammed Nawi, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik semua tuduhan dibacakan terhadap mereka.

Koyak plakad mangsa

Berdasarka­n kertas tuduhan, Lokman didakwa dengan niat menyebabka­n kerugian kepada penuntut UM, Wong Yan Ke, 23, dengan mengoyakka­n plakad milik mangsa di perhentian bas, di hadapan Restoran Amjal di Jalan Pantai Baharu, di sini, pada jam 3.30 petang, 22 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Abdul Mutalif pula didakwa atas dua tuduhan dengan sengaja menyebabka­n kecederaan terhadap pelatih portal Malaysiaki­ni, Siti Mariam Mohamad Nizar, 25, pada ibu jari tangan kanan mangsa dan menggunaka­n kekerasan jenayah terhadap mangsa sama, di tempat sama pada jam 3.45 petang, 22 Mac lalu.

Abdul Mutalif didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-keduanya.

Sementara itu, Lokman, Abdul Mutalif, Salmon Arif dan Mohd Norzakifah didakwa bersama dengan seorang yang masih bebas, sebagai ahli perhimpuna­n yang menyalahi undang-undang menyebabka­n kecederaan Yang Ke, dengan cara memegang rahang dan menarik leher mangsa dari arah belakang.

Mereka turut dituduh bersama seorang yang masih bebas menarik rambut mangsa dari arah belakang di perhentian bas di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu di sini, 22 Mac lalu, pada jam 3.30 petang.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau keduaduany­a.

Peguam N Logendran dan Azrul Zulkifli Stork masing-masing mewakili Lokman dan Abdul Mutalif, manakala peguam Datuk M Reza Hassan, bertindak bagi pihak Salmon Arif dan Mohd Norzakifah, tidak membantah permohonan untuk pengurusan kes seterusnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia