Berita Harian

Tindakan Norway tak jejas pasaran bon tempatan

Penyertaan kukuh institusi tempatan kekang impak aliran keluar

- Oleh Mahanum Abdul Aziz dan Che Wan Badrul Alias

Langkah dana kerajaan Norway mengurangk­an pegangan bon daripada 10 pasaran baharu termasuk Malaysia tidak akan memberi kesan ketara terhadap prestasi pasaran bon negara ini, kata Gabenor Bank Negara Malay

sia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, meskipun wujud pengaliran keluar daripada pasaran bon tempatan susulan laporan berkenaan, namun keadaan itu dikekang oleh penyertaan kukuh peserta institusi tempatan.

Beliau berkata, hasil bon Malaysia tidak mencatatka­n pergerakan besar seperti negara lain ketika berdepan pengaliran keluar besar-besaran dalam pasaran bon.

Katanya, hasil bon tempatan ketika ini kembali semula ke paras yang dicatatkan pada awal tahun meskipun berdepan pengaliran keluar baru-baru ini.

“Hasil bon meningkat berikutan pengaliran keluar baru-baru ini, tetapi ia kembali menyusut ke paras yang dicatatkan pada awal tahun ini. Ini adalah ciri pasaran bon, ia akan ada aliran masuk dan aliran keluar.

“Apa yang penting, kami akan pastikan sebarang pergerakan kadar tukaran ringgit adalah teratur dan ia tidak menjejaska­n aktiviti pasaran kewangan dan aktiviti ekonomi,” katanya pada sidang media mengumumka­n prestasi ekonomi suku pertama 2019 di Kuala Lumpur, semalam.

Impak penguranga­n bon

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada laporan bahawa tindakan dana kerajaan Norway mengurangk­an pegangan bon daripada 10 pasaran baharu termasuk Malaysia memberi impak ketara kepada pasaran bon tempatan.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, pengaliran keluar pada April berjumlah RM7.1 bilion, berikutan beberapa perkembang­an luaran termasuk langkah dana Norway itu.

“Ia adalah ciri biasa melabur dalam aset kewangan. Terdapat pelabur yang mengambil pegangan jangka pendek dan sebahagian yang lain mengambil pegangan jangka panjang,” katanya.

Pegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia susut pada April kepada RM162.3 bilion atau 21.9 peratus daripada jumlah terkumpul, paras terendah sejak Januari 2011.

UOB Global Economics & Markets Research berkata penyusutan pegangan susulan aliran keluar dana asing bersih dalam sekuriti hutang Malaysia berjumlah RM9.8 bilion pada April, terbesar sejak Mei tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia