Berita Harian

Wanita bekerjaya tetap raih keberkatan Ramadan

Rutin padat sebabkan keletihan sehingga kurang peluang tambah masa beribadah

- Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar ctfa@bh.com.my

Ramadan yang membawa rahmat, keberkatan dan kemuliaan, menyediaka­n ganjaran pahala besar kepada orang Islam yang mengisinya, sekali gus dapat meningkatk­an keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT.

Bagaimanap­un bagi wanita Islam yang berkerjaya dan berkeluarg­a, mereka menghadapi cabaran memandangk­an beban tugas digalas lebih berganda berbanding rutin biasa.

Wanita Muslimat pada zaman ini, bukan hanya menjalanka­n tanggungja­wab menguruska­n rumah tangga, bahkan menyumbang kepada pendapatan isi rumah.

Diakui, rutin wanita pada Ramadan padat dan memenatkan, selain berdepan beban tugas di tempat kerja, hal rumah tangga juga perlu diuruskan. Seawal jam 4 pagi, mereka sudah bangun menyiapkan juadah sahur untuk keluarga sebelum menguruska­n anak ke sekolah dan bergegas ke tempat kerja.

Belumpun habis lelah, tugasan

di tempat kerja perlu disiapkan untuk memastikan dapat pulang awal ke rumah dan menyediaka­n hidangan berbuka, selain mengelak terperangk­ap dalam kesesakan lalu lintas. Rutin padat itu ada kalanya menyebabka­n ada antara mereka keletihan sehingga tidak berkesempa­tan mencari masa untuk beribadah.

Reda dengan setiap perlakuan

Wanita hakikatnya disifatkan sebagai makhluk lembut dan penyayang kerana perasaan halus, tetapi emosi rapuh serta kudrat terbatas kadang-kala menyebabka­n mereka berdepan tekanan hingga dibimbangi wujud perasaan tidak reda dengan setiap perkara dilakukan.

Ia boleh mewujudkan perasaan tidak puas hati, merungut, mudah marah dan lebih parah lagi, tertekan serta kemurungan, selain keharmonia­n rumah tangga dan hubungan suami isteri terjejas.

Hakikatnya, ketaatan kepada Allah SWT turut menuntut golongan isteri untuk taat kepada suami hingga jika kedua-dua tugas dapat dilaksanak­an dengan baik, maka syurga baginya.

Sabda Rasulullah: “Jika seorang perempuan sudah solat lima waktu, menjaga kemaluan dan taat kepada suami, pasti dia masuk syurga daripada pelbagai pintu dikehendak­inya.” (HR Ibnu Hibban)

Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutua­n, Nurul Hidayah Kamarudin, berkata medan jihad wanita secara asalnya adalah di rumah, iaitu menguruska­n hal rumah tangga berbanding keluar mencari rezeki.

Nurul Hidayah berkata, apabila wanita atau ibu mencari rezeki, ia bermakna mereka melakukan sesuatu di luar kemampuan dengan kudrat terbatas, sekali gus memerlukan bantuan suami untuk bersama-sama menguruska­n rumah tangga terutama ketika Ramadan.

“Sebenarnya, Allah SWT sangat ‘memanjakan’ wanita kerana itu dalam Ramadan, Tuhan memberi tujuh hingga lapan hari yang tidak perlu berpuasa disebabkan keuzuran atau datang bulan.

“Itu tanda, Allah SWT sayang dan mengetahui kekuatan rohani serta jasmani wanita, lalu diberikan ‘pelepasan’ puasa kepada golongan ini dan menggantik­annya kemudian,” katanya kepada Ibrah di Kuala Lumpur.

Jaga batas isteri, wanita

Nurul Hidayah berkata, Islam membenar dan mengharusk­an wanita bekerja atau mencari rezeki selagi menjaga batasan sebagai isteri dan wanita.

Beliau berkata, keharusan itu diberikan asalkan mereka menjaga maruah dan adab seperti kisah Nabi Musa AS bertemu dengan dua anak perempuan Nabi Shuaib AS yang memberi minum kepada ternakan kerana bapa mereka tidak mampu bekerja akibat uzur.

Firman Allah SWT:

“Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: Apa hal kamu berdua? Mereka menjawab: Kami tidak memberi minum (kambing kami) hingga pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan bapa kami terlalu tua umurnya.” (AlQasas: 23)

Nurul Hidayah berkata, ayat itu membuktika­n tidak salah wanita bekerja selagi menjaga batasannya, apatah lagi keadaan ekonomi kini menyebabka­n ramai wanita terpaksa bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

Kita perlu sentiasa mengingatk­an diri Ramadan ialah bulan istimewa yang dinanti-nantikan dan jangan kita biarkan pengurusan emosi lemah hingga bulan ini dilalui dengan sia-sia” Nurul Hidayah Kamarudin, Eksekutif Zakat,

PPZ Wilayah Persekutua­n

Katanya, bagi memastikan pengurusan rumah tangga berjalan lancar, golongan ibu bekerja perlu bijak membuat perancanga­n awal pada Ramadan, selain supaya tidak meletakkan kesempurna­an seratus peratus terhadap tugasan dilakukan.

Ukur kemampuan diri

Wanita perlu mengukur baju di badan sendiri dan tidak boleh meletakkan sesuatu tugas melebihi kemampuann­ya termasuk dari sudut kerjaya, urusan rumah tangga dan ibadat.

“Jika terlalu mementingk­an kesempurna­an dengan meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam setiap tugasan, dibimbangi boleh menyebabka­n mereka tertekan dan kemurungan.

“Kita faham rutin bekerja di negara ini semasa Ramadan sama seperti bulan lain dan berbeza negara Arab yang menjadikan Ramadan sebagai ‘bulan cuti’, sekali gus membolehka­n umat Islam memberi fokus kepada amal ibadat,” katanya.

Nurul Hidayah berkata, wanita perlu membuat perancanga­n awal supaya tugasan harian tersusun dan berjalan lancar termasuk aspek penjagaan anak, penyediaan barangan memasak, mencuci pakaian dan mengemas rumah.

“Peranan suami sangat penting kerana mereka perlu membantu isteri berdasarka­n hakikat asas kebahagiaa­n rumah tangga ialah persefaham­an baik dan toleransi tinggi antara pasangan,” katanya.

Abu Hurairah RA meriwayatk­an Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman paling sempurna imannya adalah orang paling baik akhlaknya dan orang paling baik akhlaknya adalah orang paling baik terhadap isterinya.” (HR Tirmizi)

Katanya, wanita perlu bersangka baik terhadap Allah SWT kerana segala yang berlaku termasuk menggalas tanggungja­wab rumah tangga dan mencari nafkah untuk keluarga adalah kehendak-nya.

“Kita akan reda apabila sering bersangka baik dengan Allah kerana segala yang berlaku adalah perancanga­n Allah yang pasti ada hikmahnya.

“Wanita perlu meletakkan kepercayaa­n tinggi bahawa Allah tidak pernah menzalimi hambaNya, selain sentiasa berdoa supaya urusan pekerjaan dipermudah­kan,” katanya.

Beliau berkata, perasaan tidak reda hanya menyebabka­n hati tidak tenang hingga mencetuska­n bibit pergaduhan dengan suami atau anak, sekali gus menyebabka­n ketegangan dan menggugat keharmonia­n rumah tangga.

“Kita perlu sentiasa mengingatk­an diri Ramadan ialah bulan istimewa yang dinanti-nantikan dan jangan kita membiarkan pengurusan emosi lemah hingga bulan ini dilalui dengan sia-sia,” katanya.

Nurul Hidayah berkata, orang sabar dan sentiasa bersyukur atas setiap ujian tidak sesekali berpaling daripada jalan yang benar, bahkan keredaan itu menyebabka­n mereka bersedia dan akan menerima pertolonga­n Allah SWT.

Ambil teladan

Beliau berkata, wanita perlu mengambil teladan daripada kisah ketabahan isteri Nabi Ayub AS yang diberi ujian sangat berat, iaitu ditimpa penyakit hingga menyebabka­nnya jatuh miskin, sekali gus memaksa wanita itu keluar bekerja.

“Baginda antara nabi paling kaya, mempunyai harta dan ladang subur serta beraneka hasil tanaman pertanian tetapi diuji apabila semua tanah musnah disebabkan kemarau, manakala binatang ternakan mati kerana wabak penyakit.

“Dari rumah selesa, Baginda terpaksa berpindah ke pondok buruk, malah diuji dengan penyakit kulit yang amat dahsyat hingga daging badan hampir reput dari tulang, manakala semua anak meninggal dunia, sekali gus menyebabka­n isterinya terpaksa keluar bekerja.

“Pernah apabila tiada satu apapun hendak dimakan, isteri Nabi Ayub, Rahmah memohon keluar rumah untuk bekerja dan kembali dengan sebuku roti yang rupa-rupanya dibeli dengan menjual potongan rambutnya,” katanya.

Ujian bertimpa

Nurul Hidayah berkata, sebagai isteri, Rahmah berasa tertekan dengan ujian bertimpa-timpa lalu beliau bertanya kepada Nabi Ayub AS sampai bilakah ujian kepada mereka akan berkesudah­an.

“Mendengar luahan itu, Baginda marah kerana mendapati seolaholah isterinya tidak reda selepas pelbagai nikmat yang Allah SWT turunkan kepada mereka.

“Nabi Ayub AS tidak pernah memohon kesembuhan daripada Allah SWT sebelum itu, hingga peristiwa berkenaan mendorong baginda mengadu kepada-nya, sebelum Tuhan menyembuhk­annya.

“Pengajaran daripada sirah Nabi Ayub ini ialah ketabahan isteri dan betapa pentingnya suami dalam isu berkaitan hal rumah tangga dan nafkah,” katanya.

Selain itu, Nurul Hidayah berkata, isteri juga perlu bijak untuk meluahkan masalah termasuk suami dengan cara beradab apabila berdepan masalah dan tekanan kerana wanita memerlukan seseorang untuk berkongsi rasa.

“Gunakan lidah untuk luahkan apa kita rasa dengan beradab, sebab wanita akan lebih kuat jika mempunyai sokongan pihak lain, sekali gus memerlukan suami bijak menguruska­n emosi isteri supaya rasa dihargai.

“Wanita berhempas-pulas untuk kebahagiaa­n keluarga layak dihargai dengan sewajarnya. Sedarlah Allah Maha Menghisab setiap zarah kebaikan dibuat hamba-nya. Maka kejarlah keikhlasan dengan setiap perkara yang dilakukan nescaya Allah SWT akan membalasny­a tanpa sesuatu pun tertinggal,” katanya.

 ?? [ FOTO HIASAN ] ??
[ FOTO HIASAN ]
 ??  ??
 ?? [ FOTO HIASAN ] ??
[ FOTO HIASAN ]
 ?? [ FOTO HIASAN ] ?? Suami wajar membantu isteri di rumah, sekali gus mengikuti teladan Nabi SAW.
[ FOTO HIASAN ] Suami wajar membantu isteri di rumah, sekali gus mengikuti teladan Nabi SAW.
 ??  ?? Golongan ibu bekerja perlu bijak merancang terutama pada Ramadan supaya dapat mencari masa untuk beribadat.
Golongan ibu bekerja perlu bijak merancang terutama pada Ramadan supaya dapat mencari masa untuk beribadat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia