Berita Harian

Mengajar terapi rawat sakit kronik

Tiga guru cekal lawan penyakit demi mendidik generasi muda

- Oleh Badrul Kamal Zakaria

Menghidap penyakit kronik ternyata tidak sesekali mematahkan semangat tiga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tangkak, di sini untuk terus mendidik anak bangsa walaupun kudrat mereka sudah tidak kuat seperti dahulu.

Guru terbabit menganggap tugas mengajar umpama terapi terbaik dan ubat mujarab terutama apabila melihat murid meraih kejayaan cemerlang.

Guru, Jamaliah Ani, 57, berkata beliau disahkan menghidap kanser rahim sejak 10 tahun lalu, tetapi

tidak sedikit pun mematahkan semangatny­a untuk mengajar kerana begitu sayangkan profesion perguruan yang disertai sejak lebih 30 tahun lalu.

“Sebelum disahkan menghidap kanser rahim, saya juga disahkan menghidap saluran jantung tersumbat. Kedua-dua penyakit itu dalam keadaan terkawal, selain saya juga menderita sakit berkaitan saraf dan masih berada di bawah pengawasan doktor.

“Bagaimanap­un, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkecimpu­ng dalam bidang ini. Saya tidak pernah menganggap penyakit ini sebagai penghalang untuk terus mendidik murid dan memberi kepuasan apabila dapat mengajar setiap hari,” katanya ketika ditemui BH di SK Sri Tangkak di sini, semalam.

Disebabkan minat dalam profesion perguruan, Jamaliah sanggup menukarkan jadual rawatannya di sebuah hospital di Melaka pada setiap Jumaat kerana tidak mahu terlepas menjalanka­n tugas dan enggan menyusahka­n guru lain bagi menggantik­annya.

Rakan setugas memahami

Beliau juga bersyukur kerana mendapat rakan setugas, pihak pentadbira­n termasuk guru besar dan guru penolong kanan yang memahami situasinya.

“Apa yang membuatkan saya terus tabah ialah kehadiran murid yang seolah-olah menjadi terapi. Apa yang menyeronok­kan bagi guru apabila anak didik berjaya.

“Apabila ada pelajar berjaya menjadi doktor, jurutera, bekerja dalam industri petrokimia akan membuatkan saya tersenyum puas atas pencapaian mereka,” katanya.

Guru, Rozanah Abd Ghani, 53, berkata beliau bersyukur kerana mendapat seorang doktor yang terbaik dan sentiasa memberi semangat kepadanya untuk hidup dalam keadaan yang positif serta memotivasi­kan dirinya untuk terus menjadi seorang pendidik.

“Saya disahkan menghidap kanser ovari pada 2014 dan keadaan kini dalam keadaan terkawal selepas menjalani pembedahan dan beberapa siri kemoterapi pada tahun yang sama. Walaupun ia terkawal, pergerakan saya agak terbatas berbanding dahulu.

“Di sekolah ini, saya mengajar kelas pemulihan khas khusus untuk Bahasa Melayu dan Matematik. Kanser saya tahap tiga, tetapi tidak menjadi penghalang untuk meneruskan bidang ini kerana ia memberi keseronoka­n apabila mereka boleh membaca dan menulis.

“Ini kepuasan yang tidak boleh digambarka­n dan perkara membuatkan terus bersemanga­t untuk mengajar dan saya sayangkan semua murid,” katanya.

Guru, Mohd Khaireen Ramaban, 46, berkata penyakit kegagalan buah pinggang yang dialaminya sejak berusia 22 tahun tidak sesekali mematahkan semangatny­a untuk menjadi pendidik.

“Walaupun perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu dan keadaan tubuh cepat letih, disebabkan rasa sayang terhadap semua murid SK Sri Tangkak ini membuatkan saya tetap bersemanga­t untuk mengajar supaya menjadi insan berjaya.

“Seperti guru lain, saya juga pasti akan rasa gembira dan seronok sekiranya murid yang kita didik ini berjaya dalam bidang diceburi. Sudah menjadi tugas guru untuk memastikan kejayaan anak didiknya,” katanya.

 ?? [FOTO BADRUL KAMAL ZAKARIA/BH] ?? Jamaliah (tengah), Rozanah dan Mohd Khaireen bersama pelajar SK Sri Tangkak.
[FOTO BADRUL KAMAL ZAKARIA/BH] Jamaliah (tengah), Rozanah dan Mohd Khaireen bersama pelajar SK Sri Tangkak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia