Berita Harian

Antologi singkap kisah pembantu rumah Indonesia

-

Hong Kong: Antologi cerpen At A Moment’s Notice yang disunting Jafar Suryomengg­olo ini bukan sebarangan, sebaliknya himpunan cerita 23 wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah di sekitar Asia.

Asalnya ditulis dalam bahasa Indonesia, ia dihasilkan ‘cerpenis’ yang mencari rezeki di Malaysia, Singapura, Taiwan dan Hong Kong, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai pembaca memahami realiti kehidupan dari sudut pandang mereka.

Projek itu asalnya tidak mengkhusus­kan pengalaman bertugas di sesebuah negara sahaja tetapi apabila naskhah ini siap, kebanyakan cerpen mengangkat Hong Kong sebagai latar tempat.

Pembantu rumah Indonesia meningkat

Hal ini tidak menghairan­kan kerana kumpulan pembantu rumah Indonesia di Hong Kong meningkat dua kali ganda sejak 2000. Pada 2017, mereka membentuk 45 peratus daripada 360,000 pembantu rumah berdaftar di negara itu.

Ketika projek ini berjalan, ramai menjangka ia bertujuan merekodkan kisah penderaan majikan terhadap pekerja. Apatah lagi terdapat banyak kes membabitka­n pembantu rumah Indonesia didera di Hong Kong seperti Erwiana Sulistyani­ngsih pada 2014 hingga menarik perhatian Presiden Indonesia ketika itu, Susilo Bambang Yudhoyono dan Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun Ying.

Bagaimanap­un, 23 cerpen yang membentuk antologi ini sebenarnya pelbagai kisah. Selain penderaan seksual menerusi My Employer, naskhah ini turut merakamkan kisah kemesraan dan kepercayaa­n antara majikan dan pembantu rumah dalam Jade Bracelet (Mega Vristian).

Mega menulis mengenai pembantu rumah yang bukan sahaja menjadi sebahagian daripada keluarga majikannya, bahkan menyimpan rahsia mereka.

Kebanyakan cerita dalam himpunan ini sangat bersifat peribadi dan ditulis dari sudut pandangan orang luar yang melihat ke alam sesebuah keluarga. Ia bukan hanya kisah rumah tangga, sebaliknya lebih daripada itu.

Papar pengalaman kerja di luar negara

Cerpen I Love My Daughter tulisan Noena Fadzilla misalnya, mengenai Dewi, ibu tunggal tanpa anak yang meninggalk­an tanah air untuk bekerja membesarka­n anak perempuan majikannya hingga menjadi sangat emosional yang membawa kepada cemburu dan berakhir dengan tragik.

Kebanyakan watak wanita dalam kebanyakan kisah ini sedar mengenai peranan mereka sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga tetapi tidak semuanya dilakukan untuk wang. Himpunan kisah ini menjelaska­n ada sengaja memilih pekerjaan sebagai pembantu rumah untuk mencari pengalaman bekerja di luar negara atau mengharap kebebasan peribadi.

Malah, ada yang mahu melarikan diri daripada tugas sosial di rumah dan tidak kurang juga mahu menjarakka­n diri daripada masa lalu yang menyakitka­n misalnya perkahwina­n yang rosak serta hubungan yang gagal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia