Berita Harian

Beri peluang bekas banduan perbetul kesilapan

-

Pendedahan eksklusif BH bahawa hampir 90 peratus bekas banduan disisih, perlu dilihat sebagai masalah sosial yang serius.

Antara punca mereka terpaksa meneruskan kehidupan secara gelandanga­n ialah kerana ahli keluarga tidak mahu menerima, di samping mereka sendiri tidak mahu menemui keluarga.

Antara bekas banduan yang sukar meneruskan kehidupan selepas keluar dari penjara ialah bekas penagih dadah.

Kita hairan perkara ini masih berlarutan. Ternyata keluarga dan masyarakat masih berat hati memaafkan dan menerima semula bekas banduan sebagai sebahagian anggota keluarga dan masyarakat.

Hakikatnya mereka wajar mendapat peluang kedua untuk

memperbetu­lkan kesilapan lampau dan meneruskan kehidupan.

Kita akui pembabitan mereka dalam dadah dan pelbagai jenayah lain adalah tindakan sukar diterima dan dimaafkan, tetapi tidak salah berlapang dada, berfikiran positif dan membantu mereka membina hidup baharu terutama keluarga sendiri. Mereka juga sudah menjalani hukuman setimpal.

Datangkan mudarat

Masyarakat perlu sedar tindakan menyisihka­n mereka boleh mendatangk­an lebih banyak kemudarata­n.

Mereka akan rasa diri tidak berguna dan ini menambahka­n tekanan seterusnya mendorong mereka kembali terjebak kancah jenayah lampau.

Ini bukan saja merosakkan mereka, malah boleh mendatangk­an pelbagai ancaman keselamata­n kepada masyarakat. Apakah kita mahu menjadi punca mereka kembali terjebak jenayah?

Sebenarnya masyarakat boleh memainkan peranan besar membantu memulihkan bekas banduan secara berterusan. Kita perlu sedar pihak berkuasa menjalanka­n tanggungja­wab memulihkan mereka di penjara. Jadi masyarakat perlu memikul tanggungja­wab untuk meneruskan peranan pihak penjara itu.

Antaranya jangan sesekali memandang hina bekas banduan. Ubahlah persepsi dan pandangan terhadap bekas banduan. Mereka juga manusia biasa yang memerlukan bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar untuk perbaiki kesilapan lalu.

Jangan kita terlalu berprasang­ka buruk sehingga langsung tidak mahu ambil mereka bekerja kerana takut mereka mengulangi kesilapan lampau.

Jika masyarakat tidak mahu memberi peluang pekerjaan, apa lagi pilihan yang mereka ada untuk mendapatka­n sesuap nasi.

Ahli keluarga juga perlu memainkan peranan proaktif, dengan memberi dorongan dan sokongan moral kepada mereka supaya tidak malu untuk kembali ke pangkuan keluarga. Maafkanlah mereka dan terimalah mereka dengan seadanya.

Noor Mohamad Shakil Hameed,

Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia (UPM)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia