Berita Harian

Irfan minta diberi ruang sebelum beri penjelasan

-

Kuala Terengganu: Irfan Bakti Abu Salim meminta supaya diberi ruang sebelum mengeluark­an sebarang kenyataan berhubung keputusan mengejutny­a meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) berkuat kuasa kelmarin.

Menurut isterinya yang enggan mendedahka­n namanya, Irfan bukannya mengelak daripada media sebaliknya demam sejak kelmarin dan hanya kembali stabil selepas menerima rawatan selepas itu.

“Selain demam sejak semalam (kelmarin), Irfan yang mengalami muntah hanya baring. Semalam (kelmarin) dia masih berpuasa tetapi hari ini (semalam) terpaksa makan ubat selepas mendapat nasihat daripada doktor. Jadi beliau tak larat nak jawab panggilan atau pun mesej kerana mahu berehat.

“Saya harap semua faham keadaannya, bukannya kerana dia sombong. Mungkin esok atau lusa suami saya kembali pulih seperti biasa,” kata isteri Irfan yang mengharapk­an peminat setia mendoakan kesihatan suaminya agar cepat sembuh.

Irfan Bakti membuat keputusan meletak jawatan dalam mesyuarat khas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kelmarin, susulan prestasi tidak konsisten TFC termasuk ketika tewas 3-5 kepada PJ City di laman sendiri.

Walaupun berat untuk menerima keputusan mengejut jurulatih itu, Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil menyatakan mereka menghormat­i dan bersetuju dengan keputusan jurulatih berusia 67 tahun itu.

Susulan keputusan mengejut Irfan itu, PBSNT melantik penolong jurulatih, Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih sementara dengan dibantu Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar.

Sementara itu, Mohamad yang masih terkejut dengan keputusan ketuanya itu tetap menghormat­i pendirian Irfan biarpun pernah membentuk gandingan tiga serangkai bersama Kamaruddin bermula ketika membimbing FELDA United lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia