Berita Harian

Misi sukar tapi tak mustahil dicapai

-

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menyifatka­n impian untuk melihat skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia 2030 sebagai sukar tetapi tidak mustahil.

Beliau bagaimanap­un menegaskan tempoh kira-kira 10 tahun lagi sebelum menuju ke 2030 perlu digunakan sebaik mungkin oleh semua pihak terutama Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengorak langkah.

Katanya, pihak terbabit juga tidak boleh berkira dan perlu berani dalam membuat pelaburan besar jika benar-benar mahu melihat hasil seperti yang diharapkan. “Melabur untuk bola sepak bukan untuk mendapatka­n untung, tapi hasil itu yang penting. Biar orang kenal Malaysia sebagai negara yang pernah beraksi di Piala Dunia.

“Memang jika dilihat agak sukar untuk kita mencapai sasaran ke Piala Dunia 10 tahun lagi. Tapi kita kena mencuba, tiada guna impian tanpa berusaha dan mencuba.

“Bila kita letak impian tinggi ke Piala Dunia 2030, kita kena lihat pula tahun di bawahnya iaitu 2028, 2027 dan 2026, apa yang akan kita buat untuk menyokong langkah kita mencapai impian itu.

“Adakah kita nak kuatkan liga kita, bangunkan pemain muda dan siapakah pemain sasaran untuk 2030,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memasang impian untuk Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia 2030 dengan menjadikan kejayaan Qatar muncul juara Piala Asia 2019 sebagai inpirasi utama.

Syed Saddiq juga membayangk­an Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bakal meniru konsep Akademi Aspire di Doha dalam usaha mencapai impian ke Piala Dunia 10 tahun lagi.

Wan Jamak bagaimanap­un menjelaska­n Malaysia memerlukan kumpulan pemain muda yang lebih besar dan tidak hanya boleh mengharapk­an ‘produk’ AMD sahaja.

Katanya, pencarian bakat perlu dilakukan di seluruh negara selain membentuk beberapa kumpulan seperti skuad A, B dan C.

“Maknanya sekarang ini kita kena fikir pemain yang berusia antara 13 hingga 16 tahun, bila tahun 2030, umur mereka antara 23 hingga 26 tahun dan bagi saya itu adalah tahap matang pemain di Malaysia.

“Jadi apa tindakan KBS, FAM, persatuan negeri atau pihak lain? Dimana pemain ini nak dicari untuk ke 2030? Itu yang saya katakan kita perlu perancanga­n rapi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia