Berita Harian

Pasar Sim-sim patut dinaik taraf

-

Sandakan: Peniaga Pasar Simsim, di sini mahu kerajaan menambah baik kemudahan pasar berkenaan dengan menyediaka­n saluran paip bagi memudahkan pengunjung terutama umat Islam mengambil wuduk.

Selain itu, mereka juga mahu kemudahan seperti kipas ditambah, manakala atap bocor dibaiki segera bagi memastikan keselesaan pengunjung di pasar berkenaan yang menjadi antara tumpuan termasuk pelancong luar negara kerana keistimewa­an pasar dengan menu ikan bakar.

Peniaga sayur, Rici Samaila, 68, yang berniaga sejak 10 tahun di pasar itu mendakwa ketiadaan kemudahan paip di luar surau di pasar itu menyukarka­n pengunjung dan peniaga mengambil wuduk.

Katanya, mereka terpaksa mengambil wuduk di tandas berhampira­n yang mengenakan bayaran 30 sen setiap kali menggunaka­n kemudahan itu.

“Setiap kali masuk ke tandas perlu bayar 30 sen. Jika lima kali sembahyang, lima kali bayar untuk ambil wuduk.

“Kami harap kemudahan lain juga dibaiki seperti atap. Ia menyukarka­n kami apabila musim hujan kerana terpaksa tadah air menggunaka­n baldi untuk elak lantai licin,” katanya ketika ditemui di pasar itu.

Pasar Sim-sim di Kampung Sim-sim wujud sejak lebih 20 tahun lalu dan ketika ini ada enam peniaga ikan bakar serta penjual sayur beroperasi di pasar itu.

Semakin uzur

Sementara itu, peniaga ikan bakar, Hasrina Andy Cinta, 37, berkata mereka turut berharap kemudahan lain seperti kipas siling turut diganti kerana semakin uzur, selain tidak mencukupi.

Katanya, sekurang-kurangnya 100 pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara datang ke pasar itu pada setiap hari untuk menikmati menu ikan bakar.

“Baru-baru ini ada kipas dinding ditambah, namun masih tidak mencukupi. Kami sendiri mengambil inisiatif menambah kipas demi memastikan keselesaan pelanggan.

“Kami juga berharap penutup longkang yang pecah dapat dibaiki. Ada beberapa kejadian apabila pengunjung terjatuh disebabkan penutup yang pecah,” katanya.

 ?? [FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN /BH] ?? Pasar Sim-sim antara destinasi tumpuan pengunjung ke Sandakan termasuk pelancong dari luar negara untuk menikmati hidangan ikan bakar di pasar itu.
[FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN /BH] Pasar Sim-sim antara destinasi tumpuan pengunjung ke Sandakan termasuk pelancong dari luar negara untuk menikmati hidangan ikan bakar di pasar itu.
 ??  ?? Rici Samaila
Rici Samaila

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia