Berita Harian

DUA PEKERJA MATI TERTIMBUS RUNTUHAN KONKRIT

Mangsa warga Indonesia ditemui selepas 12 jam tragedi

- Oleh Shafeek Affendy Razali dan Faris Fuad

Dua maut, manakala tiga lagi cedera selepas sebahagian daripada struktur bangunan di tapak pembinaan Terminal Bas Bersepadu Gombak, di sini, runtuh semalam.

Kejadian berhampira­n Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Terminal Gombak, Taman Melati, itu berlaku pada jam 1 pagi, namun dua mayat iaitu lelaki berusia 37 tahun dan wanita berusia 45 tahun itu yang dikenal pasti warga Indonesia, hanya ditemui kira-kira 12 jam kemudian.

Mayat mangsa lelaki ditemui pada jam 1.01 tengah hari sebelum dikeluarka­n dari sisa runtuhan pada jam 2.02 petang, manakala mayat wanita ditemui jam 1.03 dan dikeluarka­n pada jam 2.12 petang.

Identiti mangsa lelaki disahkan sebagai Alias manakala mangsa wanita, Ima, dengan kedua-duanya dipercayai dihempap runtuhan kerangka besi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mayat kedua-dua buruh itu ditemui jam 1.10 tengah hari kira-kira 40 meter dari lokasi tiga rakan mereka yang terselamat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, berkata kedua-dua mangsa yang dikeluarka­n disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak perubatan.

Katanya, kedua-dua mayat ditemui selepas bomba menyambung usaha pencarian susulan maklumat baharu kemungkina­n ada mangsa masih terperangk­ap.

“Kejadian itu turut menyebabka­n tiga lagi mangsa cedera dengan dua daripadany­a dipercayai warga Indonesia sudah dihantar ke Hospital Selayang (HS) untuk rawatan lanjut.

Lima mangsa terbabit

“Seorang lagi mangsa lelaki warga Bangladesh pula terperangk­ap dalam runtuhan, jadi keseluruha­n lima mangsa dalam kejadian itu,” katanya.

Mengulas usaha menyelamat warga Bangladesh, Nordin yang ditemui di lokasi kejadian berkata, tangan mangsa terpaksa dipotong sedikit bagi membolehka­n dia dikeluarka­n dari runtuhan itu pada jam 7.05 pagi, selepas kira-kira enam jam kejadian berlaku.

Katanya, pihaknya dan semua agensi keselamata­n serta penguatkua­saan terpaksa menggunaka­n pelbagai jenis peralatan bantuan penyelamat dan alat pemotongan besi serta logam bagi membawa keluar mangsa.

“Pada mulanya sebahagian badan mangsa dihimpit bahagian struktur yang besar akibat kejadian runtuhan berkenaan.

“Selepas sebahagian badannya berjaya dibawa keluar, kami dapati sebahagian tangan mangsa remuk dan terpaksa dipotong di lokasi kejadian untuk mengeluark­annya,” katanya.

Beliau mengesahka­n tindakan memotong sebahagian tangan mangsa dibuat atas nasihat doktor dan pegawai perubatan di tempat kejadian, sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

“Ketika kejadian runtuhan berlaku sekitar jam 1 pagi itu, semua mangsa berada di tingkat bawah tapak pembinaan bangunan tiga tingkat itu yang juga tempat tinggal pekerja,” katanya.

Guna anjing pengesan

Nordin berkata, pihak bomba menggunaka­n khidmat anjing pengesan (K9) bagi operasi menyelamat dan mengesan mangsa.

Dalam kejadian itu, pihak bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 1.13 pagi, menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju dan Gombak Selatan ke lokasi untuk kerja menyelamat.

Kerja menyelamat turut dibantu anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis.

 ??  ??
 ?? [FOTO HAFIZ SOHAIMI/BH] ?? Struktur bangunan di tapak pembinaan Terminal Bas Bersepadu Gombak, runtuh mengorbank­an dua warga Indonesia.
[FOTO HAFIZ SOHAIMI/BH] Struktur bangunan di tapak pembinaan Terminal Bas Bersepadu Gombak, runtuh mengorbank­an dua warga Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia