Berita Harian

Raja Zarith Sofiah kongsi kenangan

Almarhum Sultan Ahmad Shah ketepi protokol demi rakyat

-

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris semalam berkongsi kenangan manis berhubung sepupunya, Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-musta’in Billah, yang meninggal dunia pada usia 88 tahun, kelmarin.

Raja Zarith Sofiah bertitah, ketika akhbar dan televisyen saja yang menjadi sumber berita, sudah menjadi kebiasaan terpampang gambar Almarhum Sultan Ahmad Shah berpakaian biasa duduk bersila atas lantai di rumah kampung sambil berbual dengan warga emas yang sakit serta memerlukan

bantuan perubatan.

Baginda bertitah, Almarhum Sultan Ahmad Shah bukan berada di sana untuk memberi nasihat perubatan, sebaliknya memberi perhatian dan melahirkan simpati terhadap rakyat baginda.

“Sekiranya berlaku bencana alam di Pahang seperti banjir, Almarhum Sultan Ahmad Shah yang pertama berada di tempat kejadian.

“Bagi keluarga saya di Perak, kami sudah biasa melihat gambar Almarhum dalam akhbar, sentiasa bersama rakyat baginda dan kemunculan baginda tanpa disangka di rumah kampung bukan sesuatu yang luar biasa,” titah baginda dalam hantaran yang dimuat naik ke akaun Royal Johor Facebook, semalam.

Raja Zarith Sofiah juga mengimbas kembali majlis perkahwina­nnya ketika ayahanda dan bonda baginda berbincang siapa yang harus memulakan upacara merenjis.

“Saya cuba bersungguh-sungguh memahami protokol diraja yang kompleks dan sensitif serta siapa yang lebih kekananan, ayahanda saya sebagai Sultan Perak dan ayah kepada pengantin perempuan atau Almarhum Sultan Ahmad Shah, anak saudaranya yang ketika itu Yang di-pertuan Agong.

“Menjadikan keadaan lebih rumit lagi, ayahanda suami saya juga seorang Sultan. Saya biarkan pegawai protokol istana merundingk­annya dengan ayahanda dan bonda, manakala saya tumpukan kepada isu kurang sensitif seperti warna alis mata dan gaya rambut saya,” tulis baginda.

Duduk di lantai bersama penduduk kampung

Baginda bertitah, akhirnya dalam keadaan sama, Almarhum Sultan Ahmad Shah duduk atas lantai bersama penduduk kampung dan membiarkan ayahanda Raja Zarith Sofiah, Sultan Idris Shah memulakan upacara merenjis.

“Baginda mengetepik­an protokol, membuat keputusan sendiri (sedangkan) baginda Yang di-pertuan Agong (ketika itu) yang seharusnya mengatasi semua Sultan, namun memilih menuruti nilai mulia dengan merendah diri.

“Tindakan baginda memberi persetujua­n ayahanda saya memulakan upacara merenjis pada majlis perkahwina­n saya membuktika­n Almarhum mengutamak­an keluarga, manakala protokol boleh dilentur atau tidak diamalkan,” titah baginda.

Raja Zarith Sofiah bertitah, ketika Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim didiagnosi­s menghidap kanser hati pada 2014 dan dimasukkan ke Hospital Gleneagles di Singapura, Almarhum Sultan Ahmad Shah yang pertama dan paling kerap menziarahi.

“Suami saya (Sultan Ibrahim Iskandar) yang dalam keadaan gundah-gulana di hati, cuba menceriaka­n keadaan dengan mengingatk­an Almarhum Sultan Ahmad Shah detik melucukan dikongsi bersama atau seseorang yang mereka kenali ketika Almarhum Sultan Ahmad Shah melawat Johor.

“Kami tidak menyangka seorang Sultan akan menunjukka­n keprihatin­an dan kasih terhadap anak kami sedangkan baginda jarang berjumpa Jalil (Tunku Abdul Jalil).

“Apabila Jalil tewas dalam perjuangan­nya menentang kanser setahun kemudian, baginda menghadiri upacara pengebumia­nnya walaupun ketika itu kesihatan Almarhum membatasi pergerakan, namun kehadiran baginda bersama keluarga sungguh bermakna bagi kerabat diraja Johor,” katanya.

 ??  ?? Kenangan bersama Almarhum yang dimuat naik Raja Zarith Sofiah ke akaun Royal Johor Facebook, semalam.
Kenangan bersama Almarhum yang dimuat naik Raja Zarith Sofiah ke akaun Royal Johor Facebook, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia