Berita Harian

Aidilfitri di kampung atau bercuti luar negara

- Penulis adalah Penyunting Berita Harian

Resam anak rantau setiap kali tiba Aidilfitri, tiada destinasi lain hendak dituju kerana pastinya ke kampung halaman jugalah kaki akan melangkah.

Bagi yang berstatus bujang, tiada halangan untuk pulang ke kampung kecuali tuntutan kerjaya yang perlu dilunas pada pagi Aidilfitri.

Berbeza anak rantau yang berkeluarg­a, rutin giliran menjadi pegangan untuk keadilan bersama. Biarpun cita rasa makanan keluarga mentua mungkin berbeza, paling utama dapat pulang meraikan Aidilfitri di kampung pasangan masing-masing sentiasa dinanti.

Ambil kesempatan balik kampung awal

Sementelah Aidilfitri jatuh dalam cuti sekolah, ada yang mengambil kesempatan untuk pulang lebih awal. Berbuka puasa bersama keluarga dan menikmati juadah air tangan ibu yang tiada tandingann­ya.

Terbayang ketupat palas, lemang, kelupis, rendang, lodeh, kari dan segala macam juadah raya memenuhi meja di kampung. Semua itu menjadikan hati semakin membara mahu pulang, biarpun juadah sedemikian mudah dicari di bandar. Hidangan bersalut kasih sayang tetap jadi pilihan.

Tidak kurang juga ada yang memilih untuk menyambut Aidilfitri dengan bercuti ke luar negara atau ke mana-mana destinasi dalam negeri.

Hakikatnya, ia bukan lagi sesuatu yang luar biasa, malah sudah menjadi lumrah dalam kalangan segelintir masyarakat yang memilih menghabisk­an cuti hari raya di negara orang.

Mungkin pada yang berfikiran konservati­f pasti bertanya apa perlunya berhari raya sampai ke luar negara, kerana semestinya suasana dirasai pasti berbeza.

Data Hotel.coms mendedahka­n aliran terkini rakyat Malaysia yang gemar bercuti ke destinasi percutian keluarga pada musim perayaan semakin meningkat. Aliran ini menandakan peralihan gaya hidup dan cita rasa masyarakat Malaysia yang melihat sambutan Aidilfitri di kampung bukan lagi rutin atau kemestian.

Namun bagi saya, jika kita masih ada ibu dan ayah di kampung lebih elok pulang meraikan Aidilfitri bersama mereka. Mungkin ada berpendapa­t bukan tidak pernah pulang ke kampung sebelum hari raya, tetapi suasana pada pagi Syawal itu sangat berbeza.

Hargai silaturahi­m

Justeru, apa salahnya bercuti pada musim cuti yang lain dan ambil kesempatan hening dan kemeriahan Syawal untuk disambut bersama sanak saudara di kampung. Biarpun tradisi pulang ke kampung bukan suatu paksaan, ia sebenarnya mendidik generasi muda menghargai hubungan silaturahi­m antara saudara jauh dan dekat.

Ia sekali gus mendekatka­n mereka dengan resam hidup orang kampung menyambut Aidilfitri. Bertuah jika ada yang dapat merasai susah payah mengejar ayam, bersama-sama membuat kuihmuih, memasak rendang, mengacau dodol dan bermacam lagi kegiatan dilakukan.

Menelusuri suasana Aidilfitri di kampung nyata banyak bezanya berbanding di bandar, kerana menyentuh hati yang merasainya.

Pelita dipasang mengelilin­gi setiap rumah di kampung. Meriah dalam cara tersendiri. Menariknya, tiada rumah terbuka pada hari tertentu, tetapi lazimnya kedatangan tetamu sentiasa dialualuka­n pada bila-bila masa.

Apapun masing-masing mempunyai alasan tersendiri untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung ataupun tidak.

Di mana juga anda sekeluarga berada sama ada berhari raya di bandar, di kampung atau di luar negara, pilihan di tangan anda dalam meraikan Syawal yang mulia. Maaf zahir batin.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia