Berita Harian

Bot boleh bertahan atas laut 4 bulan

Sindiket antarabang­sa disyaki bekal bahan api serta stok air, makanan

- Oleh Ifwan Tun Tuah

Bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara mampu belayar sehingga empat bulan tanpa perlu pulang ke negara asal kerana mempunyai sistem sokongan yang lengkap, termasuk daripada orang tempatan.

Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) percaya sindiket antarabang­sa yang mendalangi kegiatan itu menyediaka­n kapal induk bagi mengutip hasil tangkapan daripada bot terbabit dalam tempoh tertentu, selain membekalka­n bahan api serta stok makanan dan air.

Sindiket itu dipercayai mempunyai rakan subahat di negara ini termasuk nelayan tempatan bagi membekalka­n ketiga-tiga bahan utama itu kepada bot mereka, malah pihak berkuasa tidak menolak kemungkina­n kru bot terbabit juga

dibawa untuk berhibur di daratan.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama (M) Aminuddin Abdul Rashid, berkata siasatan dan risikan mendapati nelayan Vietnam berani menceroboh perairan negara termasuk Johor kerana mempunyai persediaan yang rapi.

“Bot dengan kru yang ramai ini datang dari jauh dan tidak mungkin pulang dalam tempoh yang cepat, sebaliknya mereka berada di perairan negara untuk tempoh lama sehingga mencecah tiga atau empat bulan untuk mengaut sebanyak mungkin hasil laut kita.

Perlu rancangan teliti

“Kegiatan ini memerlukan perancanga­n teliti dan rangkaian luas supaya keperluan logistik dapat disediakan. Kita percaya selain kapal induk, mereka mendapat bantuan dan bekalan daripada ahli sindiket yang dibantu orang tempatan di darat,” katanya pada temu bual khas bersama BH.

Aminuddin berkata, bagi kawasan Johor, pihaknya mengenal pasti kawasan Endau di Mersing sebagai tapak hubungan darat bagi sindiket terbabit.

Katanya, risikan mendapati ada nelayan Vietnam yang naik ke darat melalui pelabuhan atau jeti persendiri­an untuk membeli barang keperluan, malah mengunjung­i pusat hiburan yang dikendalik­an warga negara itu di Endau.

“Kami pernah menyerbu sebuah rumah di Endau yang dipercayai menjadi pusat komunikasi sindiket itu yang dilengkapi peralatan radio untuk menyelaras pergerakan dan perhubunga­n kegiatan anggota sindiket pada Februari lalu dan menahan seorang wanita Vietnam berusia 30-an,” katanya.

Aminuddin berkata, sindiket itu tidak hanya terbabit dalam kes penceroboh­an bot nelayan dari Vietnam, malah menguruska­n penyeludup­an pendatang tanpa izin (PATI) dari negara itu untuk berkerja sebagai kru bot nelayan tempatan.

“Kita percaya, sindiket sama turut bersekongk­ol dengan nelayan tempatan dan menggunaka­n bot mereka untuk mengaburi pihak berkuasa sedangkan semua tekong dan kru adalah PATI Vietnam.

Mahu keuntungan segera

“Sesetengah pemilik bot ingin keuntungan segera, lalu mereka dipercayai membuat perjanjian dengan sindiket. Bot mereka digunakan nelayan Vietnam dengan hasil keuntungan daripada tangkapan dikongsi bersama.

“Keadaan ini menyebabka­n nelayan Vietnam menggunaka­n apa sahaja cara termasuk kaedah diharamkan untuk mengaut sebanyak mungkin hasil laut tanpa memikirkan kesannya terhadap pemelihara­an sumber perikanan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya membuat beberapa tangkapan sejak awal tahun lalu dengan yang terbaru membabitka­n 39 nelayan Vietnam serta rampasan tiga bot yang menggunaka­n tanda nama seperti bot tempatan pada 30 April dan 1 Mei lalu.

Katanya, pihaknya juga menahan 19 pendatang asing Vietnam yang cuba keluar secara haram dengan menaiki sebuah bot di perairan tidak jauh dari Endau pada 30 Januari lalu dan seorang wanita dipercayai tekong darat di Endau pada 3 Februari.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN /BH] ?? Aminuddin ketika ditemu bual bersama BH di Johor Bahru. Aminuddin
Abdul Rashid, Pengarah Maritim Johor
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN /BH] Aminuddin ketika ditemu bual bersama BH di Johor Bahru. Aminuddin Abdul Rashid, Pengarah Maritim Johor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia