Berita Harian

Tindakan jika masuk secara haram

KDN teliti dakwaan lebih 100,000 warga Aceh kuasai sektor runcit, perkhidmat­an

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Kementeria­n Dalam Negeri akan meneliti dakwaan terdapat lebih 100,000 daripada 500,000 warga Aceh di negara ini dipercayai menguasai sektor peruncitan dan perkhidmat­an.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan mengikut undang-undang akan diambil sekiranya didapati mereka memasuki negara ini secara haram.

Katanya, tindakan juga akan diambil terhadap warga tempatan yang bersubahat melindungi pendatang asing tanpa izin.

“Perkara ini kita akan teliti, kerana terdapat lebih dua juta pekerja asing yang sah dan bekerja di negara ini mengikut sektor tertentu

dan kita ada rekod mereka datang dari negara mana.

“Kalau sektor membabitka­n warga Indonesia, kita tahu mereka ada macam-macam suku, mana tempat di Indonesia mereka datang itu tidak penting, yang penting mereka masuk secara sah, ada kerja dan tidak langgar undangunda­ng,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilainilai Murni di sini, semalam.

Rakyat tempatan lindungi warga asing

Ditanya mengenai rakyat tempatan yang melindungi warga asing terbabit, Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti tuduhan berkenaan betul atau tidak.

“Kalau masuk secara tidak sah mereka adalah pendatang asing dan itu satu kesalahan dan bagi orang yang melindungi mereka dianggap bersubahat dan tindakan undang-undang boleh diambil,” Menteri Dalam Negeri katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan BH baru-baru ini yang mendedahka­n lebih 100,000 daripada 500,000 warga Aceh di negara ini dipercayai menguasai sektor peruncitan dan perkhidmat­an dengan sebahagian besarnya bertumpu sekitar Lembah Klang.

Perniagaan Aceh ini dipercayai dilindungi warga tempatan yang membenarka­n nama mereka digunakan dalam lesen dan mengaku pemilik kedai apabila operasi dilancarka­n pihak berkuasa tempatan, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sumber berkata, dana kewangan komuniti Aceh itu menjadi kukuh susulan pelancaran tabung bencana mangsa tragedi tsunami pada 2004.

Sebahagian besar warga Aceh yang berniaga juga dikatakan memiliki kad pengenalan Malaysia, kata sumber.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia