Berita Harian

‘Tak mahu duduk harap bantuan sahaja’

Warga emas cacat dua kaki jaja produk buatan sendiri biaya keluarga

- Oleh Togi Marzuki

Walaupun cacat keduadua kaki, warga emas, Abd Shukur Saad, 64, enggan meneruskan hidup mengharapk­an bantuan saja, sebaliknya tetap gigih keluar mencari rezeki halal.

Bapa kepada dua anak berusia 16 dan 17 tahun itu tidak menjadikan kecacatan akibat kemalangan jalan raya sebagai penghalang untuknya menjaja pelbagai produk termasuk rempah daging berjenama ‘Mak Long’ yang dihasilkan sendiri.

Terdedah kepada cuaca panas dan hujan, Abd Shukur tabah meneruskan aktivitiny­a di sekitar bandar ini menggunaka­n kerusi roda elektrik sumbangan beberapa pelanggann­ya, walaupun pada Ramadan.

Terbabit kemalangan

Beliau berkata, kedua-dua kakinya terpaksa dipotong selepas terbabit kemalangan apabila kereta dipandunya terbabas lima tahun lalu.

“Sebelum ini saya mencari rezeki dengan bekerja sebagai buruh binaan, namun selepas kemalangan saya tidak mampu bekerja.

“Bagaimanap­un, saya tidak mahu duduk mengharapk­an bantuan saja, jadi saya mula menjaja apa saja yang boleh untuk mendapatka­n wang sebelum beberapa pelanggan berkongsi wang membelikan saya kerusi roda elektrik.

“Sejak itu, saya boleh bergerak lebih mudah dan jauh. Saya biasanya menjaja di sekitar pusat bandar bermula jam 9 hingga 12 tengah hari dan bersambung pada jam 3 hingga 5 petang,” katanya yang tinggal di rumah sewa di Jalan Pejabat, di sini.

Abdul Shukur berkata, dia amat berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal yang memberi bantuan bulanan, sekali gus meringanka­n beban ditanggung.

Tambah pendapatan

Beliau berkata, walaupun menerima bantuan, dia perlu berusaha menambah pendapatan bagi menampung keperluan dua anak yang bersekolah, selain bayaran sewa rumah RM380 sebulan.

Katanya, beliau juga berterima kasih kepada isteri, Zaini Abu Nawas, 52, yang membuat kerja sampingan mengambil upah menjahit pakaian untuk membantu menambah pendapatan keluarga.

“Walaupun dikategori­kan orang kurang upaya (OKU), sikap berdikari perlu ada dan saya perlu berusaha memajukan diri mengikut keupayaan, walaupun hasil jualan tidak menentu,” katanya.

 ?? [FOTO TOGI MARZUKI /BH] ?? Abd Shukur berkerusi roda melayan pelanggan ketika menjaja hasil produk keluaranny­a di sekitar bandar Pontian.
[FOTO TOGI MARZUKI /BH] Abd Shukur berkerusi roda melayan pelanggan ketika menjaja hasil produk keluaranny­a di sekitar bandar Pontian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia