Berita Harian

Galak tunai zakat fitrah ikut harga beras dimakan

-

Shah Alam: Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah berdasarka­n harga beras yang mereka makan seharian.

Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini, berkata ia bagi mencermink­an kebajikan golongan berkemampu­an dan lebihan bayaran itu akan disalurkan kepada fakir miskin.

Katanya, ia juga bertepatan dengan hadis berkenaan bayaran mengikut harga beras dimakan.

Beliau berkata, melebihkan bayaran zakat fitrah juga adalah sunat dan lebih afdal terutama di bulan Ramadan.

“Zakat fitrah ini wajib untuk semua umat Islam lelaki dan wanita asalkan cukup syarat dan mampu.

“Secara logik akal, pastilah tidak sama orang yang makan beras mahal dengan beras murah, maka bagi mereka yang mempunyai kekayaan dan makan beras mahal, wajar mereka menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras.

“Amalan ini juga adalah satu peluang mencantikk­an amalan wajib selain sedekah sunat dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat LZS, di sini, semalam.

Mohd Sabirin berkata, pengenalan bayaran zakat mengikut harga beras dimakan mula diperkenal­kan pada Ramadan tahun lalu.

Bagaimanap­un, beliau berkata, sebelum diperkenal­kan, terdapat pembayar zakat fitrah yang menunaikan bayaran berlebihan dari harga ditetapkan.

Kesedaran makin meningkat

Katanya, berdasarka­n pemerhatia­n LZS selama dua minggu ibadah puasa berjalan, kesedaran orang awam berkenaan bayaran zakat fitrah mengikut harga beras itu semakin meningkat.

“Sebelum 2018, kesedaran menunaikan zakat fitrah dengan jumlah berlebihan ini sudah ada cuma bayaran mereka tidak standard dan mengikut kiraan mereka sendiri.

“Bermula tahun lalu, kita sudah tetapkan (kadar bayaran). Pembayar yang makan beras berharga antara RM13 hingga RM44 bagi lima kilogram (kg) wajib membayar RM14.

“Bagi yang makan beras mahal melebihi RM44 untuk kuantiti kg sama, mereka disunatkan untuk membayar RM21 sebagai kadar zakat fitrah mereka,” katanya.

Mohd Sabirin berkata, mana-mana pembayar zakat yang tidak mahu membuat bayaran lebih tetap wajib untuk menunaikan zakat fitrah dengan harga ditetapkan Fatwa Selangor iaitu RM7 seorang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia