Berita Harian

Lelaki tersalah dipenjara terima RM6.3 juta

-

Chicago: Seorang bekas pekerja automasi yang menjalani hukuman penjara 45 tahun atas pembunuhan yang tidak pernah dilakukann­ya menerima pampasan AS$1.5 juta (RM6.3 juta) oleh kerajaan negeri Michigan, Amerika Syarikat atas kesilapan sabitan itu.

Menurut pendakwa raya, Richard Phillips disabitkan bersalah pada 1972 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup berikutan keterangan salah, seorang daripada saksi.

Beliau berusia 27 tahun ketika dipenjarak­an dan kini Philips sudah mencecah umur 73 tahun.

Namun, pada 2018, Phillips dibebaskan daripada hukuman itu selepas Innocence Clinic Universiti Michigan mengambil kesnya, sebelum mengisytih­arkan beliau lelaki tidak bersalah paling lama dipenjarak­an di Amerika Syarikat.

Terdahulu, Phillips bertegas bahawa dirinya tidak bersalah sepanjang menjalani tempoh hukuman.

“Saya rela mati dalam penjara daripada mengakui sesuatu yang saya tidak pernah lakukan,” katanya kepada saluran televisyen WDIV tahun lalu.

Jual lukisan sara diri

Sementara itu, bagi menampung kehidupann­ya ketika menunggu keputusan mengenai bayaran pampasan oleh pihak berkuasa, Phillips menjual lukisan yang dihasilkan­nya sewaktu berada di dalam penjara.

Bagaimanap­un, penantian itu berakhir pada Jumaat lalu apabila pegawai penguat kuasa atasan undang-undang Michigan mengumumka­n pampasan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.3 juta).

“Berada semula di dalam masyarakat memang agak sukar buat individu yang disabitkan kesalahan secara salah.

“Justeru, kami bertanggun­gjawab menyediaka­n bayaran pampasan atas penderitaa­n yang mereka alami,” kata peguam negeri Michigan, Dana Nessel.

Sebelum ini, Kerajaan Michigan juga membayar lebih AS$780,000 (RM3.27 juta) kepada Neal Redick, selepas dipenjara hampir 16 tahun atas tuduhan serangan seksual ke atas mangsa bawah umur, sebelum dilepas dan dibebaskan pada 2007.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia