Berita Harian

Jonathan mahu fokus larian

-

Kuala Lumpur: Walaupun Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia semakin laju dan sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 100 meter, ia sedikit pun tidak menggugat fokus pelari pecut negara, Jonathan Nyepa.

Jonathan yang mengikuti latihan di Winners Circle Athetics di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) bersama Zaidatul Husniah Zulkifli dan jurulatih, M Balamuruga­n menegaskan apa yang penting adalah prestasi diri sendiri.

“Tak perlu fikir prestasi orang lain kerana ada atlet yang hebat, malah ada yang lebih hebat.

“Hanya perlu fokus dengan diri sendiri, dan kalau rezeki saya terpilih ke Filipina (Sukan SEA 2019) nanti saya akan cuba buat yang terbaik dan fokus dengan larian sendiri,” kata Jonathan yang berada di AS sejak Februari lalu atas tajaan syarikat penjana kuasa bebas (IPP), Edra Power Holdings Sdn Bhd dan dijangka menamatkan latihan pada Oktober ini.

Lalu, juara remaja dunia dari Indonesia menempah tiket ke Tokyo 2020 selepas melakarkan 10.03 saat dan meraih gangsa ketika beraksi di Seiko Golden Grand Prix 2019 di Osaka, Jepun baru-baru ini.

Rekod peribadi terbaik

Jonathan pula antara 20 atlet olahraga negara dalam 13 acara yang sudah melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA Filipina 2019.

Ditanya mengenai perkembang­an dirinya di AS, Jonathan menjelaska­n yang dia ketika ini sedang dalam proses adaptasi dengan teknik larian baharu supaya dapat membantu meningkatk­an prestasiny­a.

“Matlamat saya di AS sekurang-kurangnya hendak mencatatka­n rekod peribadi terbaik dalam acara 100 meter (m).

“Sepanjang berlatih di AS juga saya dapat rasai adanya perbezaan dari segi teknik larian,” katanya yang mendapat bimbingan bekas jaguh acara lompat jauh AS, Dwight Phillips, yang pernah menyertai acara pecutan.

Untuk rekod, rekod peribadi terbaik Jonathan adalah 10.28s yang dicipta di Terbuka Korea pada 2017, manakala pencapaian terbaik semusim miliknya adalah 10.42s ketika beraksi dalam satu kejohanan di AS, Mac lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia