Berita Harian

Serik hilang tiga jari main mercun

Remaja menyesal, mahu pengalaman dijadikan iktibar

- Oleh Nurul Fatihah Sulaini bhnews@bh.com.my

“Andai dapat diputarkan masa, memang saya tidak akan bermain mercun. Namun semuanya sudah terlambat. Saya ditakdirka­n cacat tangan kerana mercun,” kata Muhammad Ridwan Abdul Rashid, mangsa pertama mercun di Terengganu tahun lalu.

Muhammad Ridwan, 17, berkata, walaupun genap setahun peristiwa hampir meragut nyawanya itu berlalu, dia masih trauma dengan kejadian itu.

“Sekarang kalau dengar bunyi mercun pun saya sudah trauma. Saya sendiri tidak menyangka percubaan pertama bermain mercun ketika itu menyebabka­n saya mengalami kecacatan kekal seumur hidup.

“Cukuplah sekali saya terkena mercun, rasa sangat serik,” kata bekas pelajar kelas khas Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut itu, yang cacat tiga jari akibat kejadian itu.

Sebelum ini media pernah melaporkan mengenai tragedi menimpa Muhammad Ridwan, pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah lembam itu, apabila menjadi

mangsa pertama mercun di negeri ini pada 5 Mei 2018.

Main mercun bola

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, Muhammad Ridwan dikatakan bermain mercun bersama 10 rakan lain di kawasan rumahnya di Kampung Nail, Kuala Besut dan mangsa sedang memasukkan belerang mercun bola ke dalam botol kaca sebelum ia meletup.

Kejadian itu menyebabka­n empat jarinya parah dan dia kemudian dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dipindahka­n ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, untuk rawatan lanjut.

Menceritak­an kembali kejadian itu, Muhammad Ridwan berkata, dia menggunaka­n botol minyak wangi kosong untuk mengisi belerang mercun.

“Ketika saya cucuh api dan mahu melemparka­n botol, terasa botol itu melekat di tangan sebelum ia meletup dan tangan terasa amat sakit.

“Mercun buatan sendiri memang bahaya dan saya nasihatkan rakan lain jadikan pengalaman saya ini sebagai iktibar.

“Janganlah bermain mercun kerana seronoknya hanya sementara. Kalau berlaku tragedi seperti menimpa saya, pasti menyesal seumur hidup. Dilahirkan sempurna tetapi cacat akibat kesilapan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, sejak empat bulan lalu dia bekerja di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besut, untuk menyara keluarga dan enggan menyusahka­n adik beradiknya kerana dia juga sudah tidak minat bersekolah.

“Kedua ibu dan bapa saya sudah meninggal dunia kerana kemalangan ketika saya berumur tujuh tahun dan saya kini tinggal bersama adik beradik,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.

Kalau berlaku tragedi seperti menimpa saya, pasti menyesal seumur hidup. Dilahirkan sempurna tetapi cacat akibat kesilapan sendiri” Muhammad Ridwan Abdul Rashid, Mangsa mercun

 ?? [FOTO NURUL FATIHAH SULAINI /BH] ?? Muhammad Ridwan menunjukka­n tiga jari tangan kudung akibat bermain mercun ketika ditemui di Kuala Besut.
[FOTO NURUL FATIHAH SULAINI /BH] Muhammad Ridwan menunjukka­n tiga jari tangan kudung akibat bermain mercun ketika ditemui di Kuala Besut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia