Berita Harian

‘Usah jadikan derma, duit raya sebagai tuntutan’

Individu sihat perlu berusaha kumpul wang tanpa harap ihsan: PM

- Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Hamzah Osman

Sumbangan derma dan duit raya tidak seharusnya dijadikan sebagai tuntutan dalam kalangan umat Islam kerana ia hanya akan melemahkan mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pada bulan Ramadan, umat Islam yang berkemampu­an memang digalakkan menderma kepada golongan susah dan sakit bagi meringanka­n beban mereka.

Katanya, bagaimanap­un bagi yang sudah dewasa dan sihat adalah wajar untuk mereka bekerja serta mengumpul wang sendiri tanpa berharap pada bantuan berkenaan.

“Bulan puasa kita banyak memberi derma kepada orang tidak upaya dan sakit tertentu, tetapi adalah baik jika berusaha sendiri dan membekalka­n diri

dengan duit ringgit.

“Kita tidak harus bergantung kepada pemberian orang lain kerana ia akan melemahkan jiwa dan membuatkan kita bergantung kepada orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan Bersama Perdana Menteri di Masjid Nurus Salam, Kampung Ewa, di sini, malam tadi.

Terdahulu seramai 150 anak yatim, pelajar miskin dan golongan asnaf di Parlimen Langkawi menerima bantuan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Elak persengket­aan

Dr Mahathir berkata, usaha membendung nafsu dan marah juga perlu diteruskan selepas Ramadan bagi mengelak permusuhan serta persengket­aan.

“Banyak masalah dunia berlaku kerana manusia gagal bendung kemarahan sehingga berlaku perang, membunuh dan mencederak­an orang.

“Apabila marah, kita tidak dapat berfikir sehingga kita memaki hamun, fitnah, membuat cerita tidak benar pada musuh,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih bersama-sama penduduk.

 ?? [FOTO NORAINI AHMAD /BH] ?? Dr Mahathir menyampaik­an sumbangan kepada kanak-kanak istimewa pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya di pekarangan Masjid Nurus Salam Kampung Ewa, Langkawi, malam tadi.
[FOTO NORAINI AHMAD /BH] Dr Mahathir menyampaik­an sumbangan kepada kanak-kanak istimewa pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya di pekarangan Masjid Nurus Salam Kampung Ewa, Langkawi, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia