Berita Harian

Bersihkan PTPTN daripada beban hutang

-

Isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kembali hangat susulan cadangan mengembali­kan penyenarai­an hitam peminjam yang ingkar membayar, untuk ke luar negara. Satu langkah pernah dilaksana PTPTN, namun dibatalkan tahun lalu.

Yang turut dikecam hebat cadangan diperoleh PTPTN daripada perbincang­an meja bulat Konsultasi Rakyat (KR). Inti pati penguatkua­saan baharu dipertimba­ngkan termasuk sekatan memperbaha­rui pasport, lesen memandu, cukai jalan kenderaan, pendaftara­n perniagaan serta sekatan kelulusan pinjaman kepada ahli keluarga terdekat peminjam culas.

Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan 9 Mei tahun lalu, isu PTPTN antara hebat diperkatak­an.

Meneliti keseluruha­n isu berkait PTPTN ini, rentetan kisahnya bermula daripada tindakan kurang tepat kerajaan, selain stigma dalam kalangan ahli politik mengenai janji pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN. Idea bermula ketika Barisan Nasional (BN) memerintah lagi.

Amalan kerajaan terdahulu menawarkan diskaun bayaran pinjaman dan pengecuali­an bayaran bagi graduan yang mendapat kelas kepujian tertentu, menyebabka­n dana yang sepatutnya dijadikan sumber pinjaman baharu, lebur dan angkanya cukup besar.

Hal ini diakui Pengerusi

PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, ketika temu bual kami bersamanya, baru-baru ini.

Prinsip bertentang­an

Benar kaedah dua kaedah itu ada baiknya, namun dari sudut prinsip keberhutan­gan ia jelas bertentang­an. Kini, PTPTN terpaksa memohon pinjaman dari institusi kewangan, sekali gus mengumpul beban hutang tinggi.

Tugas PTPTN yang sepatutnya berfungsi sebagai penyedia dana pinjaman pendidikan, kini seolah-olah bertukar kepada badan kebajikan rakyat.

Namun, keputusan terdahulu itu pastinya didasari banyak faktor. Satu daripadany­a mungkin didorong persekitar­an politik ketika itu, terutama sikap dan tingkah laku ahli politik yang tidak henti-henti memomokkan mengenai janji pendidikan percuma kepada rakyat, selain pemansuhan hutang PTPTN.

Kesan momokan inilah sebahagian peminjam tidak mengambil pusing komitmen melunaskan pinjaman, sehingga stigma untuk tidak bertanggun­gjawab terhadap pinjaman diterima itu, begitu menebal dalam kalangan anak muda termasuk mahasiswa sendiri.

Siri demontrasi menuntut penghapusa­n PTPTN diadakan, tidak kurang lantang melaungkan kempen pendidikan percuma. Ada secara terbuka membentuk gerakan maya di media sosial untuk tujuan sama.

Kini, pemimpin politik yang dahulunya memomokkan cerita mengenai pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN ke halwa telinga anak muda, senyap membisu dan menikus. Tidak mahu ulas isu PTPTN, seakan apa yang dijaja itu kisah lama yang tidak perlu dikenang kembali.

Kesannya, PTPTN terpaksa memikul beban. Lantaran PTPTN mengambil tanggungja­wab menerusi KR untuk memberi peluang kepada rakyat mengemukak­an cadangan bagi membolehka­n dua matlamat utama dapat dicapai - mengurangk­an bebanan hutang PTPTN serta komitmen bayaran balik tinggi dalam kalangan peminjam.

Usah beri janji populis

Untuk memenuhi tuntutan sedemikian, peranan masyarakat dan pemimpin politik mesti digembleng sehabis mungkin.

Bagi pemimpin politik, berhentila­h mengadu domba dan memberi janji populis. Kesalilah setiap tindakan lampau yang sebenarnya hanya memberi beban kepada PTPTN hari ini.

Idea, buah fikiran amat diperlukan ketika ini bagi PTPTN merangka dasar yang membolehka­n RM40 bilion hutang ditanggung ketika ini, dikurangka­n secara drastik. Bagi anak muda yang kecewa, tidak ada jalan lain untuk memujuk jiwa selain menyedari bahawa setiap sen hutang diterima wajib dibayar kembali.

Untuk langkah jangka panjang, PTPTN perlu menggandak­an usaha menggalakk­an masyarakat menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai simpanan pendidikan anak-anak.

Kerajaan dengan kerjasama PTPTN juga dicadang memperkena­lkan dasar yang membuka peluang kepada syarikat korporat dan swasta menyumbang usaha menyediaka­n dana pendidikan kepada pelajar, terutama golongan B40, dengan dana itu diurus serta dikawal selia sepenuhnya PTPTN.

Sebagai timbal balas, ganjaran pengecuali­an cukai tertentu mungkin boleh diperkenal atas komitmen diberikan mereka. Langkah ini boleh memberi peluang kepada PTPTN menstruktu­r dan mengurangk­an tanggungan hutangnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia