Berita Harian

Polis tahu kedudukan bekas CEO SRC Internatio­nal

-

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui di mana bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Internatio­nal Sdn Bhd (SRC Internatio­nal), Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil, berada.

Bagaimanap­un, Abdul Hamid berkata pihaknya tidak boleh mendedahka­n lebih lanjut lokasi sebenar saksi penting yang dikehendak­i dalam siasatan dan kes berkaitan SRC Internatio­nal dan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) itu.

“Ya kami tahu (lokasinya). Dia bukan di Indonesia. Isteri keduanya di sana. Dia ada ke sana sekali (dulu),” katanya pada sidang media selepas melancarka­n Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, semalam.

Menurut keterangan saksi perbicaraa­n kes Datuk Seri Najib Razak membabitka­n dana SRC Internatio­nal, Nik Faisal Ariff adalah individu yang mengawal akaun bank bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menerima wang berjumlah RM42 juta.

Bagaimanap­un usaha untuk membawanya untuk perbicaraa­n masih gagal kerana pihak berkuasa belum dapat mengambil keterangan­nya sejak 2015.

Abdul Hamid Bador juga berkata, pendedahan lokasi Nik Faisal Ariff pada 2015 sudah menggagalk­an rancangan awalnya untuk melarikan diri dan memaksanya menukar lokasi persembuny­ian.

“Ingat hari saya dedahkan ada usaha untuk menyembuny­ikannya dan usaha untuk membawanya ke sebuah negara? Tetapi ia tidak berlaku kerana telah didedahkan lebih awal oleh saya. Dia ada di situ (sekali), tetapi kini dia di tempat lain,” katanya.

Kumpul dokumen berkait 1MDB

Mengulas mengenai serbuan di firma juruaudit, Deloitte Malaysia kelmarin, Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang mengumpul beberapa dokumen yang dipercayai ada kaitan dengan siasatan penyelewen­gan dana 1MDB.

Beliau berkata, kes 1MDB menjadi keutamaan beliau sejak memegang jawatan Ketua Polis Negara awal bulan ini.

“Itu (kes 1MDB) adalah keutamaan saya, kita perlu selesaikan 1MDB ini dengan secepat mungkin),” katanya.

Abdul Hamid juga berkata, keselamata­n Low Taek Jho atau Jho Low adalah terjamin jika ahli perniagaan dalam buruan itu kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan kes 1MDB.

Beliau berkata, dakwaan kononnya ahli perniagaan itu akan ditahan, diseksa dan dibunuh sekiranya pulang adalah tidak benar sama sekali.

“Jaminan keselamata­n yang sama juga akan diberikan kepada keluarga Jho Low dan enam lagi individu dikehendak­i pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes 1MDB.

“Malaysia mempunyai undang-undang, balik ke negara ini jika tidak bersalah dan jangan guna peguam untuk keluarkan kenyataan serta membuat penafian,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia