Berita Harian

Syarikat dapat kesan sebahagian barang kemas

-

Kuala Lumpur: Global Royalty Trading SAL hanya dapat mengesahka­n sebahagian kecil daripada 44 barang kemas yang dirampas polis daripada kediaman dikaitkan dengan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Syarikat berkenaan menyaman Rosmah bagi menuntut balik 44 barang kemas miliknya, sebahagian daripada yang dirampas polis dalam operasi itu.

Peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan itu, berkata anak guamnya sudah memeriksa 12,000 barang kemas yang dirampas polis daripada premis dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak pada Mei tahun lalu.

Gurupatham berkata, Global Royalty sehubungan itu memberikan kenyataan kepada polis tidak semua 44 unit barang miliknya ada dalam simpanan pihak berkuasa.

Beliau berkata, pengesahan hanya boleh dilakukan selepas senarai semua barang yang dirampas diwartakan polis.

“Pihak kami tidak boleh menyatakan berapa barang milik anak guam yang dirampas itu kerana kami tidak memfailkan dokumen berkaitan, hanya apabila kami sudah memfailkan dokumen berkaitan, baru kami dapat menjelaska­n kedudukan kami.

“Oleh itu kami memohon menjadi pencelah dalam kes permohonan Pendakwa Raya untuk melucut hak harta didakwa milik defendan (Rosmah) dan 17 yang lain, kami sudah menulis kepada Pejabat Peguam Negara dan mereka membalas, kami akan memohon untuk mencelah dalam prosiding melucut hak ini.

“Kami akan buat tuntutan terhadap barang kemas yang ada dalam simpanan itu manakala bagi barang yang tiada, kami akan teruskan dengan perbicaraa­n yang dijadualka­n pada 17 September,” katanya.

Gurupatham berkata demikian selepas pengurusan kes saman dikemukaka­n Global Royalty terhadap Rosmah berhubung tuntutan terbabit.

Saman itu bagi menuntut Rosmah memulangka­n barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga semua barang kemas berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Gurupatham berkata, Pesuruhjay­a Kehakiman Wong Chee Lin kemudian menetapkan 19 Ogos ini bagi pengurusan kes.

Yang turut hadir, peguam Mohamed Reza Rahim mewakili Rosmah.

Global Royalty dalam penyataan tuntutan berkata, pada 10 Februari 2018, ia menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, bernilai antara AS$124,000 (RM504,000) dan AS$925,000 (RM3.7 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia