Berita Harian

Dana RM1.4J lulus dalamkan muara sungai

Peruntukan melalui JPS untuk selesai masalah lumpur mendap

- Oleh Adha Ghazali

Sejumlah RM1.4 juta peruntukan diluluskan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendalamka­n muara sungai di sekitar daerah ini, yang mengalami mendapan lumpur serius sehingga turut menjejaska­n operasi nelayan pantai.

Jurutera JPS Daerah Langkawi, Mohamad Suaimi Ramli, berkata peruntukan itu adalah sebahagian RM15.3 juta yang dicadangka­n pihaknya sebagai kaedah penyelesai­an sederhana untuk lapan muara

sungai yang disenarai mengalami mendapan lumpur serius.

Kelapan-lapan muara berkenaan, katanya, ialah Sungai Temonyong, Sungai Menghulu, Sungai Kelibang, Sungai Ranggut (Kuala Teriang), Sungai Kubang Badak, Sungai Kuah, Sungai Chenang dan Sungai Pengkalan Tepa, dengan jumlah nelayan pantai terjejas di semua lokasi melebihi 1,500 orang dan membabitka­n hampir 1,000 bot.

“Kelulusan RM1.4 juta yang diterima itu akan diagihkan untuk kerja pengorekan empat muara iaitu Sungai Temonyong, Sungai Menghulu, Sungai Ranggut (Kuala Teriang) dan Sungai Chenang.

“Buat masa ini, projek mendalamka­n muara sudah dimulakan di Sungai Temonyong membabitka­n cadangan pengorekan laluan sepanjang 500 meter, sebelum disusuli tiga lagi muara,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan BH mengenai isu paras sungai cetek dan masalah mendapan lumpur serius yang mengganggu operasi bot nelayan pantai di sekitar pulau ini.

Sebelum ini, tiga kaedah penyelesai­an masalah itu dicadangka­n JPS membabitka­n jangka panjang, sederhana dan pendek, dengan setiap satu menentukan skala impak projek serta tempoh ketahanan kerja dijalankan bagi sesuatu lokasi.

Mengenai dakwaan nelayan pantai bahawa kerja pengorekan dilakukan hanya mendatangk­an impak sementara, beliau berkata penyelesai­an jangka sederhana membabitka­n kerja pengorekan secara menyeluruh di kawasan muara dan sebahagian sungai yang cetek.

Bantu kurangkan impak

“Ia dianggarka­n dapat bertahan antara setahun hingga lima tahun bergantung kepada kekuatan ombak dan kapasiti aliran sungai. Selain berbaloi dari segi kos, ia penting untuk mengurangk­an impak mendapan lumpur serius ketika ini yang menyukarka­n bot nelayan bergerak keluar masuk jeti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Hidrologi Malaysia, Datuk Hanapi Mohamad Noor, berkata aliran sungai kuat amat diperlukan untuk menolak lumpur ke laut, namun itu tidak berlaku di Langkawi yang mana kebanyakan­nya mempunyai kawasan tadahan kecil.

Di Langkawi, katanya, mendapan lumpur dan pasir datang daripada pantai atau laut, berbeza dengan sungai besar di Kelantan, Terengganu atau Pahang contohnya yang mana mendapan hasil hakisan, pembanguna­n, pembukaan tanah dan pembalakan datang dari kawasan hulu sungai.

“Untuk kawal mendapan berpunca dari laut, kaedah pengorekan lumpur yang selalu dilakukan JPS di beberapa muara di daerah ini boleh digunakan, namun untuk penyelesai­an konkrit pembinaan struktur benteng pemecah ombak sangat sesuai.

“Masalahnya untuk menyediaka­n struktur itu kosnya sangat tinggi, bergantung kepada keluasan sungai. Biasanya kos boleh mencecah RM5 juta hingga RM10 juta,” katanya yang juga bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai JPS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia