Berita Harian

Pasaran hartanah dijangka kekal suram tahun ini

Lambakan unit tidak terjual, kemampuan pembeli rendah terus beri tekanan sektor perumahan

- Oleh Nora Mahpar

Pasaran hartanah tempatan dijangka terus suram sepanjang tahun ini berikutan sentimen yang lemah susulan kemampuan membeli rumah yang rendah dan isu hartanah belum terjual yang berlarutan, demikian menurut Alliancedb­s Research Sdn Bhd.

Penganalis­isnya, Quah He We, berkata seiring dengan prospek harga rumah yang lemah, pembeli

mengambil pendekatan lebih berhati-hati sementara pemaju terus menumpukan penjualan hartanah yang tidak terjual dengan pelbagai tawaran insentif menarik.

“Pemulihan tidak mungkin berlaku pada 2019. Kami percaya lebih banyak masa diperlukan untuk pasaran menyerap jumlah yang banyak hartanah tidak terjual.

“Tambahan pula, lambakan rumah tidak terjual ini menyebabka­n hasil sewa tidak begitu baik untuk pemilik hartanah dan menjadikan aset berkenaan tidak berpotensi besar sebagai peluang pelaburan,” katanya dalam nota kajian.

Permintaan lemah

Sementara itu, He We berkata, pertumbuha­n permohonan pinjaman hartanah bagi Januari hingga Februari 2019 kekal tidak menentu pada 1.3 peratus, mencermink­an permintaan yang lemah bagi sektor hartanah.

“Oleh itu, pasaran hartanah sangat bergantung kepada pembeli rumah tulen untuk memilih hartanah yang tidak terjual.

“Tambahan pula, pemaju ketika ini sedang berkerja keras untuk mengurangk­an inventori (rumah tidak terjual) mereka dengan pelbagai rebat menarik yang dilihat mampu mengurangk­an harga jualan bersih,” katanya.

Berdasarka­n Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), lambakan unit rumah tidak terjual di Malaysia kini mencecah nilai RM29.47 bilion.

He We berkata, pihaknya tidak menolak sektor hartanah mengalami tempoh sukar pada tahun mendatang ditambah dengan risiko pertumbuha­n ekonomi yang lemah susulan ketidakten­tuan pasaran kewangan dan perang perdaganga­n antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus memberi kesan kepada pertumbuha­n ekonomi global.

“Ini terbukti apabila harga hartanah yang terus melemah ke tahap paling rendah sejak 2010 yang mana ia berkembang kurang 1.0 peratus pada suku ketiga 2018.

“Kami percaya 2019 menjadi tahun ketujuh kemerosota­n pertumbuha­n hartanah sejak ia mencapai kemuncak sebanyak 13.4 peratus pada 2012,” katanya.

Pasaran diburukkan lagi dengan jumlah lebihan penawaran dalam unit kediaman bertingkat.

Katanya, bekalan unit kediaman itu berada di kemuncak pada tahun ini apabila projek antara 2016 hingga 2018 siap pada tahun ini, sekali gus menyumbang kepada lebihan rumah tidak terjual.

“Unit bertingkat menyumbang 40 peratus daripada hartanah kediaman yang siap namun belum dijual iaitu 30,115 unit pada suku ketiga 2018.

“Jika kita sertakan sekali apartmen servis yang siap namun tidak terjual yang dikategori­kan sebagai hartanah komersial, ia meningkat kepada 54 peratus.

“Ia juga menjadi punca harga hartanah menjunam ke wilayah negatif pada suku ketiga 2018,” katanya.

Kempen pemilikan rumah

Bagi menangani krisis lambakan rumah tidak terjual ini, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melancarka­n Kempen Pemilikan Rumah Nasional 2019 dan Dasar Perumahan Kebangsaan 2.0 tahun ini bertujuan mengurangk­an tekanan terhadap pasaran hartanah tempatan.

Langkah ini sangat dialualuka­n apabila kerajaan menggarisk­an beberapa inisiatif termasuk penubuhan pangkalan data bersepadu iaitu NAPIC, melancarka­n skim sewa dan miliki untuk golongan B40 dan merangka Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) sebagai garis panduan yang jelas untuk program perumahan awam dan rumah mampu milik.

Bagaimanap­un, ia akan mengambil sedikit masa sebelum kita dapat melihat hasil ketara dari semua inisiatif kerajaan memandangk­an pelaksanaa­n sentiasa menjadi antara kebimbanga­n utama sesebuah dasar.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia