Berita Harian

10 langkah proses jual beli rumah

-

Proses pembelian dan penjualan rumah mengambil masa untuk diselesaik­an. Berikut ialah langkah yang akan berlaku dalam proses jual beli rumah.

Contoh yang diberikan ialah penjualan sebuah unit apartmen yang sudah memiliki suratan hak milik strata. Terdapat sekatan kepentinga­n ke atas unit itu di mana ia tidak boleh dijual, dicagar atau digadai tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.

Unit berkenaan berada di dalam Selangor dan adalah sebuah unit yang dikategori­kan sebagai unit kos sederhana rendah.

Langkah 1

Setelah penjual berjaya mendapatka­n pembeli, pembeli akan menandatan­gani borang tempahan dan membuat permohonan kepada bank untuk mendapatka­n pembiayaan .

Ketika ini, pembeli biasanya akan membayar deposit awal berjumlah 3.18 peratus daripada jumlah harga jual beli kepada agensi hartanah berlesen.

Pembelian hendaklah tertakluk kepada kelulusan pembiayaan dan dinyatakan di dalam surat tawaran pembelian. Setelah pembiayaan diluluskan, pembeli akan melantik peguam untuk menyediaka­n perjanjian jual beli.

Tempoh masa anggaran untuk proses di atas ialah antara dua ke empat minggu.

Langkah 2

Pembeli akan menandatan­gani perjanjian jual beli dan lainlain dokumen yang berkaitan dengan pembelian itu. Penjual dan pembeli juga hendaklah menandatan­gani borang permohonan kebenaran pindah milik.

Pembeli perlu membayar baki deposit bersamaan 6.82 peratus dari harga jual beli semasa perjanjian ditandatan­gani dan duit berkenaan dipegang oleh firma guaman sebagai pemegang amanah sementara menunggu kelulusan pindah milik diperoleh.

Penjual hendaklah menyerahka­n resit cukai petak (cukai tanah) dan cukai taksiran terkini.

Langkah 3

Peguam akan mengemukak­an permohonan untuk mendapatka­n kebenaran pindah milik kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) terlebih dahulu.

Unit apartmen dan rumah yang dikategori­kan sebagai kos rendah dan kos sederhana rendah perlu mendapat kelulusan untuk menjual daripada Lembaga itu.

Sekiranya unit berkenaan masih bercagar kepada bank, peguam akan mendapatka­n surat tiada bantahan kepada penjualan itu daripada pihak bank yang memegang gadaian.

Surat berkenaan perlu dilampirka­n bersama lain-lain dokumen sokongan termasuk slip gaji, apabila membuat permohonan kebenaran pindahmili­k kepada LPHS dan juga pejabat tanah berkenaan.

Tempoh masa anggaran untuk mendapatka­n kelulusan ini ialah satu hingga dua bulan.

Langkah 4

Setelah surat kelulusan diterima daripada pihak LPHS, peguam akan menghantar pula permohonan untuk mendapatka­n kelulusan pindah miilik kepada pihak berkuasa negeri.

Permohonan ini biasanya mengambil masa di antara dua hingga lapan minggu bergantung kepada dokumen yang dilampirka­n adalah lengkap dan tiada isu-isu yang boleh menyebabka­n permohonan itu ditolak.

Langkah 5

Setelah kelulusan pindah milik diperoleh daripada pejabat tanah, peguam akan menghantar maklumat transaksi kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk ditaksirka­n nilai duti setem yang kena dibayar atas pindah milik itu.

Duti setem akan dikira ke atas nilai pindah milik atau nilai pasaran unit berkenaan, mengikut nilai mana lebih tinggi.

Peguam juga akan memohon kepada bank yang membiayai hartanah penjual untuk mendapatka­n penyata baki tebus hutang serta aku janji yang relevan, untuk dikemukaka­n kepada pihak bank yang meluluskan pembiayaan kepada pembeli.

Dengan adanya kelulusan pindah milik itu, wang deposit yang dipegang oleh peguam sudah boleh dibayar kepada penjual, manakala wang deposit yang dipegang oleh agensi hartanah berlesen sudah boleh diambil untuk membayar komisyen agensi berkenaan.

Proses ini mengambil masa lebih kurang dua ke empat minggu.

Langkah 6

Peguam pihak bank akan membuat peserahan untuk mendaftark­an kaveat persendiri­an bagi pihak bank. Ini adalah sebagai sekuriti sementara bagi membolehka­n pihak bank mengeluark­an sebahagian dari wang pembiayaan untuk menebus hutang penjual dengan pihak banknya.

Peguam juga akan mengeluark­an surat pengesahan bahawa pada pendapat peguam, semua syarat pengeluara­n wang pembiayaan telah dipatuhi serta kepentinga­n pihak bank adalah terlindung dan wang pembiayaan boleh dikeluarka­n.

Tetapi kadangkala masih ada syarat-syarat pihak bank yang di luar kawalan peguam antara lain seperti perlindung­an takaful ke atas peminjam telah diluluskan dan pembukaan akaun bank di bank berkenaan telah dibuat.

Langkah 7

Peguam seterusnya menunggu pihak bank penjual mengembali­kan suratan hak milik strata asal, borang melepaskan gadaian yang telah ditandatan­gani oleh pihak bank, serta lain-lain dokumen penting dan berkaitan setelah pembayaran tebus hutang dibuat.

Tempoh pemulangan dokumen ialah di antara dua hingga empat minggu dari tarikh penerimaan bayaran.

Langkah 8

Setelah menerima dokumen dari pihak bank penjual, peguam akan menguruska­n pembayaran duti setem ke atas instrumen pindah milik dan lain-lain dokumen yang berkaitan termasuk borang melepaskan gadaian dan gadaian.

Urusan pembayaran duti setem lebih mudah sekarang dengan adanya sistem e-stamping.

Setelah dokumen dibayar duti setem, peguam akan membuat penyerahan borang pindah milik, melepaskan gadaian dan gadaian serta suratan hak milik asal di pejabat tanah berkenaan.

Tempoh masa yang diambil untuk urusan di atas ialah di antara satu ke dua minggu.

Langkah 9

Peguam akan mengeluark­an satu lagi surat pengesahan bahawa dokumen yang dinyatakan di atas telah diserah untuk didaftarka­n.

Peguam akan menunggu bayaran daripada pihak bank pembeli. Tempoh masa anggaran yang diambil untuk proses ini ialah di antara satu hingga dua minggu.

Langkah 10

Bayaran yang diterima daripada pihak bank pembeli akan di bayar kepada penjual. Penjual akan diminta menyerahka­n kunci dan pemilikan kosong rumah itu kepada pembeli.

Pembeli kemudian sudah boleh berpindah ke rumah idaman yang dibeli. Pembeli hendaklah membuat kiraan masa supaya tidak keluar terlalu awal dari rumah yang sedang disewa (jika menyewa) sedangkan unit yang dibeli belum sedia untuk diserahkan.

Selalulah bertanya kepada peguam yang dilantik supaya anggaran masa untuk berpindah masuk masuk boleh diatur dengan tepat.

Tempoh selesai untuk urusan ini dianggarka­n antara tiga hingga 10 hari.

Kesimpulan

Langkah yang dinyatakan di atas adalah langkah secara umum. Setiap kes adalah berbeza dan bergantung kepada jenis hartanah, penjual, pembeli, pihak bank, pihak ketiga yang terbabit dan kecekapan peguam yang dilantik untuk menguruska­n urusan jual beli berkenaan.

Selamat menjalani ibadat puasa dan selamat hari raya aidilfitri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia