Berita Harian

Peniaga mengaku tak salah bakar kereta mufti

Tertuduh dibenar ikat jamin RM8,000, sebutan semula 2 Julai depan

- Oleh Siti Nur Mas Erah Amran dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Seorang peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pada 22 Mac lalu.

Mohd Azimar Abd Razak, 36,

dituduh membakar kereta Honda Accord warna hitam milik kerajaan negeri dengan maksud hendak menyebabka­n kerosakan kepada kenderaan itu bersama seorang suspek lain yang masih bebas di Jalan Persiaran Wawasan, di sini, pada jam 5 pagi.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara 14 tahun, denda

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca dengan Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan denda.

Bagaimanap­un, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Timbalan Pendakwa Raya, Norsyuhada Mohd Yatim, tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh berikutan kes itu membabitka­n kepentinga­n awam dan kenderaan milik kerajaan.

Beliau juga memberitah­u mahkamah, tawaran jaminan dikhuatiri akan menyebabka­n kejadian yang sama berulang selepas kes itu tular di media sosial.

Bagaimanap­un, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh, Najidah Romli, memohon mahkamah menawarkan ikat jamin ke atas anak guamnya.

Katanya, Mohd Azimar menjaga dua orang anaknya berusia 9 dan 11 tahun, selain turut menanggung seorang kakak berusia 46 tahun yang menghidap strok.

Ainul Shahrin kemudian membenarka­n jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 2 Julai depan.

Beliau turut memberi amaran ke atas tertuduh agar tidak mendekati mangsa, ahli keluarga atau kenalan rapat mangsa, selain memerintah­kan dia melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes pada setiap bulan.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata empat suspek, termasuk Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM) Perlis, Amirul Jufri Mat Saman, yang ditahan untuk membantu siasatan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Semua mereka, termasuk dalang utama dikenali sebagai Zaini berusia antara 30 hingga 38 tahun sebelum ini, direman empat hari sejak Selasa lalu.

Bagaimanap­un, katanya, polis tidak menolak kemungkina­n mendakwa suspek lain jika terdapat bukti mencukupi.

“Setakat ini polis membebaska­n empat suspek, termasuk Zaini, manakala seorang lagi sudah dituduh di mahkamah pagi tadi.

“Seandainya semua bukti sudah lengkap, kita tidak menolak kemungkina­n keempat mereka akan dibawa ke mahkamah (proses pendakwaan),” katanya ketika dihubungi semalam.

 ?? [FOTO AMRAN HAMID /BH] ?? Mohd Azimar dibawa ke Mahkamah Sesyen Kangar, semalam.
[FOTO AMRAN HAMID /BH] Mohd Azimar dibawa ke Mahkamah Sesyen Kangar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia