Berita Harian

Setia ziarah pusara ibu setiap Jumaat

Tiga beradik minta datuk buat tahlil hilangkan perasaan rindu

- Oleh Ramli Ibrahim

Walaupun sudah empat tahun tragedi ibu mereka mati dibunuh berlalu, namun tiga beradik ini tidak pernah berhenti mengajak datuknya ke kubur setiap pagi Jumaat.

Ahmad Qushri Mohd Arul, 9, Qushri Adli, 7 dan Qusri Adam, 5, yang tinggal di Kampung Batu Papan dekat sini, juga sering meminta datuknya, Ishak Deris, 67, supaya mengadakan tahlil selepas solat Isyak di rumah.

Ishak berkata, dia mengikut sahaja

kehendak cucunya itu supaya mereka tidak terlalu sedih dan dapat melepaskan rindu kepada arwah ibunya.

Katanya, adik bongsu yang paling manja apabila kerap bertanyaka­n ke mana ibunya pergi selepas melihat rakan sebayanya mempunyai ibu masing-masing.

Kerap bertanya ibu

“Setahun lalu, Qusri Adam kerap bertanya mengenai ibunya kerana ketika tragedi itu berlaku dia baru berusia enam bulan, namun hal sebenar diceritaka­n abangnya.

“Berikutan itu, saya kerap diajak ketiga-tiga cucu ke kubur yang terletak 500 meter dari rumah terutama pagi Jumaat setiap minggu untuk melepaskan rindu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim untuk menyampaik­an bantuan Aidilfitri.

Pada 1 Mac 2015, Yashmin Fauzi, 26, ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan separa sedar di atas jalan oleh suaminya yang ketika itu bertugas sebagai anggota polis bantuan.

Kejadian itu berlaku pada jam 2.40 pagi ketika, Mohd Azrul Isahak, 34, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dan rasa tidak sedap hati pulang ke rumah.

Sebaik tiba di hadapan rumahnya, Mohd Azrul menemui isterinya berlumuran darah diatas jalan raya dekat rumahnya akibat dikelar leher oleh seorang lelaki yang juga jirannya.

Mangsa ketika itu tinggal bersama tiga anak lelaki yang masih kecil kerana suaminya mempunyai tugasan pada pagi itu.

Ishak berkata, seminggu selepas kejadian, tiga beradik itu masih mendakap kain selimut yang ada kesan darah ibunya kerana terlampau rindu.

“Mengambil masa hampir dua bulan juga untuk tiga beradik itu terutama anak sulung dan kedua untuk melupakan peristiwa kejam itu,” katanya.

 ?? [FOTO RAMLI IBRAHIM/BH] ?? Dari kiri Qusri Adam, Qushri Adli dan Ahmad Qushri melihat gambar kenangan Yashmin, ketika ditemui di Gua Musang, semalam.
[FOTO RAMLI IBRAHIM/BH] Dari kiri Qusri Adam, Qushri Adli dan Ahmad Qushri melihat gambar kenangan Yashmin, ketika ditemui di Gua Musang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia