Berita Harian

Semarakkan kembali malam tujuh likur

Kemeriahan cahaya pelita, lampu, semangat gotong-royong masyarakat Melayu sambut Syawal

- Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

rumah dan laluan utama.

Masyarakat Melayu dahulu menyambut malam tujuh likur umpama pesta apabila pelita panjut dipasang di sekeliling rumah di seluruh kampung. Suasana malam tujuh likur juga tidak akan sepi dengan bedilan meriam buluh dan katak yang dimainkan anak muda sehingga awal subuh, manakala kanak-kanak pula dibuai keriangan bermain bunga api.

Gotong-royong sedia juadah

Lazimnya, pada malam tujuh likur, penduduk kampung akan bergotong-royong menyediaka­n juadah khas seperti wajik, dodol, kuihmuih tradisiona­l dan membakar lemang.

Bertunjang­kan prinsip muafakat, aktiviti seperti mengacau dodol, wajik dan membakar lemang akan dilakukan bergilir-gilir, sekali gus dapat meningkatk­an hubungan silaturahi­m antara penduduk.

Ketua Program Persuratan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaa­n Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamad Yuszaidy Mohd Yusoff, berkata keunikan sambutan malam tujuh likur bukan sahaja terletak pada kemeriahan bermain bunga api dan meriam buluh, bahkan menandakan bermulanya hari untuk umat Islam membuat persiapan sebelum menyambut kedatangan Syawal.

Mohamad Yuszaidy berkata, ia selaras cara hidup masyarakat Melayu yang mendukung konsep kerjasama dan gotong-royong sebagai asas kehidupan dan amalan itu disemarakk­an pada malam tujuh likur.

“Dahulu tiada bekalan elektrik, jadi penduduk kampung memerlukan sumber cahaya pelita untuk menerangi kawasan gotong-royong itu. Maka, banyak pelita disediakan untuk menerangi kawasan tempat penyediaan juadah khas Aidilfitri berkenaan.

“Pelita diperbuat daripada batang buluh panjang itu turut dipasang di laluan utama kampung untuk memudahkan jemaah berjalan kaki ke surau atau masjid bagi menunaikan solat tarawih kerana ketika itu tiada bekalan elektrik atau lampu jalan,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaann­ya pada malam tujuh likur, orang kampung akan memasang pelita panjut pada setiap tiang kayu setinggi lebih kurang satu meter dipacak di keliling rumah.

Pertanding­an pelita panjut

“Inilah suasana ketika zaman kanak-kanak saya dahulu, pelita minyak tanah bersumbu dipasang di keliling rumah, terutama 10 malam terakhir Ramadan dan lebih meriah ketika malam tujuh likur. Malah, ada pelita dibuat sendiri menggunaka­n tin susu.

“Pertanding­an pelita panjut antara kampung juga dibuat pada malam terakhir Ramadan. Pemasangan­nya dibuat mengikut kreativiti masing-masing dan ada disusun membentuk arca tertentu, sekali gus menjadikan suasana lebih meriah,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Yuszaidy berkata, pesta cahaya pada malam tujuh likur perlu dilihat daripada sudut positif walaupun ada pihak mengaitkan­nya sebagai asimilasi budaya Hindu.

“Walaupun ada pihak mendakwa amalan menyalakan pelita, lilin, panjut dan lampu sebagai bidaah, tetapi ia perlu dilihat dalam konteks lebih luas dan positif kerana ia budaya tradisi masyarakat Melayu sebagai simbolik di ambang sambutan Aidilfitri.

“Malam tujuh likur menampilka­n nilai estetika tinggi budaya Melayu, sekali gus boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong.

Sambutan semakin pudar

Bagi pelancong luar, mereka meminati sesuatu eksotik dan mempunyai kelainan yang tiada di tempat mereka, sekali gus harus kita manfaatkan untuk industri pelanconga­n negara,” katanya.

Bagaimanap­un, Mohd Yuszaidy mengakui sambutan malam tujuh likur semakin pudar dalam masyarakat walaupun masih ada meraikanny­a, terutama di Pantai Timur dan Selatan tanah air.

“Amalan memasak juadah Aidilfitri secara gotong-royong sudah tidak lagi dilakukan di kebanyakan tempat.

“Malah, juadah seperti wajik, dodol dan lemang sudah dikomersil­kan secara meluas hingga mudah didapati.

“Generasi Y dan Z tidak memahami erti sebenar sambutan malam tujuh likur serta tidak sempat merasai kemeriahan sambutan berkenaan. Saya berharap sambutan malam tujuh likur dapat terus dipertahan­kan dalam masyarakat dan dilestarik­an mengikut kesesuaian peredaran zaman,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia