Berita Harian

Klopp pasti merana jika tewas

Mourinho percaya pengurus Liverpool tertekan

-

Jose Mourinho menegaskan Jurgen Klopp pasti sukar menerima sekiranya mengalami kekalahan ketiga pada final Liga Juara-juara.

Bekas pengendali Chelsea, Real Madrid dan Manchester United itu memenangi dua aksi final Liga Juara-juara ketika menjadi pengurus, namun sebaliknya bos Liverpool itu kini mengharapk­an tuah kali ketiga.

Tewas di Wembley ketika bersama Borussia Dortmund pada 2013, Klopp mengalami kekalahan final kedua di tangan Real Madrid pada aksi di Kiev, musim lalu.

Menjelang aksi final bertemu Tottenham di Wanda Metropolit­ano, Klopp mengintai peluang untuk menamatkan badi finalnya

dengan Mourinho tahu betapa jangkaan tinggi diletakkan ke atas pengurus dari Jerman itu.

“Jika Klopp memenangin­ya (Liga Juara-juara), ini bakal menjadi pencapaian mengagumka­n buat dirinya,” kata Mourinho kepada Sky Sports News.

Kejohanan terbesar dunia

“Kalau dia gagal memenangin­ya, anda pun tahu bahawa tewas tiga final Liga Juara-juara, sudah tentu ia satu situasi yang sukar untuk diterima.

“Namun ketika ini, dia begitu positif dan hanya memikirkan mengenai kemenangan.”

Ketika Liverpool menjadi pasukan pilihan selepas menghimpun 97 mata dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), Mourinho bagaimanap­un tidak melihat Tottenham sebagai pasukan yang mudah.

“Tidak pernah memenangi gelaran namun memenangi gelaran besar yang pertama, ini akan menjadi pencapaian yang baik buat mereka.

“Liga Juara-juara adalah antara kejohanan terbesar dunia. Ia perlawanan yang begitu mendebarka­n dengan tekanan yang amat tinggi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia