Berita Harian

MFL, AFL redakan kemarahan

-

Kuala Lumpur: Beberapa pasukan Liga M3 dilihat ‘berlapang dada’ dan menerima peruntukan yang sudah ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) membabitka­n dua slot automatik ke saingan Liga Perdana musim hadapan.

Dua pasukan yang ketika ini sedang berada dalam kelompok atasan Liga M3 iaitu Kuching FA dan Kelantan United mengakui sudah mendapat penerangan secara menyeluruh daripada badan pengendali liga itu berhubung slot automatik terbabit.

Setiausaha Agung Kuching FA, Iswandi Ali Hassan menegaskan dia sudah mendapat gambaran yang lebih jelas membabitka­n isu terbabit sambil menegaskan keputusan itu diterima dengan hati yang terbuka.

“Sebelum ini, banyak perkara tergantung dan kami tidak dapat penjelasan terperinci mengapa tidak ada slot automatik ke Liga Perdana diberikan seperti pasukan dari Piala FAM sebelum ini.

Perbincang­an dua hala

“Jadi, selepas mendengar penjelasan terperinci pada perjumpaan dengan MFL dan AFL, kami menerima keputusan itu dengan positif dan diharapkan perbincang­an dua hala seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelantan United FC, Datuk Zamri Ismail menegaskan mereka boleh menerima pendekatan MFL juga AFL dalam isu format play-off dan tiada slot automatik diberikan kepada pasukan M3.

“Mengenai isu play-off jika mahu beraksi di Liga Perdana musim depan, kami sebenarnya sudah tahu dari awal lagi dan kami bersetuju terhadap segala asas mengapa ia tidak diberikan secara automatik,” katanya.

Kelmarin, MFL dan juga AFL mengadakan pertemuan dengan 14 pasukan M3 bagi menerangka­n beberapa isu membabitka­n faktor kewangan dan penjelasan di sebalik kedudukan dua pasukan teratas M3 perlu beraksi di saingan play-off dengan dua pasukan tercorot Liga Perdana jika mahu beraksi di Liga Perdana musim hadapan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia