Berita Harian

3 bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

TLDM tahan 30 awak-awak, tiga tekong warga Vietnam curi hasil laut

- Oleh Fardy Bungga

Tiga bot nelayan Vietnam ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sekitar 68 dan 76 batu nautika barat daya Pulau Layang-layang, Selasa lalu, selepas dikesan menceroboh perairan negara disyaki untuk mencuri hasil laut.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, seramai 30 awak-awak dan tiga tekong warga Vietnam berusia lingkungan 16 hingga 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszam­an Abu Hassan, berkata hasil pemeriksaa­n mendapati semua bot itu beroperasi tanpa dokumen dan lesen yang sah.

“Pemeriksaa­n lanjut mendapati semua bot berkenaan disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunaka­n peralatan dilarang, iaitu kaedah renjatan elektrik.

“Kaedah itu bukan saja salah di sisi undang-undang, malah boleh mengancam ekosistem hidupan laut kita,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Bawa muatan pelbagai jenis ikan

Kamaruszam­an berkata, ketigatiga bot berkenaan turut membawa muatan pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 900 kilogram dipercayai hasil laut negara ini.

Beliau berkata, bot nelayan asing itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan dibawa ke Jeti Maritim Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(3)(b), Seksyen 15 dan Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 sebelum pendakwaan dapat dilakukan,” katanya

Kamaruszam­an berkata, Maritim Malaysia memandang serius isu penceroboh­an dilakukan bot nelayan Vietnam di perairan negara ini.

Malah, beliau berkata, kerakusan nelayan asing mengaut hasil laut negara tidak boleh dipandang ringan dan harus diperangi dengan sewajarnya.

“Tahun ini, sebanyak enam bot nelayan Vietnam sudah berjaya ditahan membabitka­n tiga di Zon Maritim Kudat dan tiga lagi di Zon Maritim Kota Kinabalu,” katanya.

Sehubungan itu, Kamaruszam­an merakamkan penghargaa­n kepada pasukan TLDM, khususnya Markas Pemerintah­an Armada Timur atas kejayaan dan kerjasama diberikan.

Beliau berkata, kerjasama erat itu perlu dalam usaha memerangi penceroboh­an bot nelayan asing di perairan negara yang menyebabka­n kerugian mencecah nilai RM8 bilion, di samping menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air.

 ?? [FOTO FARDY BUNGGA /BH] ?? Kamaruszam­an (tengah) menunjukka­n peralatan renjatan elektrik yang digunakan oleh bot nelayan Vietnam untuk menangkap ikan di perairan negara di Jeti APMM di Sepanggar.
[FOTO FARDY BUNGGA /BH] Kamaruszam­an (tengah) menunjukka­n peralatan renjatan elektrik yang digunakan oleh bot nelayan Vietnam untuk menangkap ikan di perairan negara di Jeti APMM di Sepanggar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia