Berita Harian

Isteri mangsa culik, mangsa kebakaran terima bantuan Aidilfitri

-

Sandakan: Nasib keluarga Jari Abdullah yang mati ditembak kumpulan penculik di selatan Filipina, bulan lalu, mendapat perhatian isteri Yang di-pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Isteri arwah, Nadin Junianti Najiri, 25, bersama tiga anak, Jafran Abdullah berusia setahun, Jefriadin Najun, 5, dan Janneyanti, 7, antara yang menerima sumbangan Yayasan Nur Jauhar pada majlis disempurna­kan Norlidah di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini, semalam.

Ketika ditemui pada majlis itu, Nadin berkata, bantuan wang dan barangan dapur diberikan yayasan terbabit amat bermakna kepada mereka sekeluarga, terutama dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Beli baju baharu

“Saya akan menggunaka­n wang ini untuk membeli baju raya anak, selain pakaian seragam dan keperluan persekolah­an anak.

“Kami sangat berterima kasih kepada Toh Puan atas sumbangan ini. Ia amat bermakna kepada kami,” katanya.

Pada majlis sama, Norlidah yang juga Penasihat Yayasan Nur Jauhar menyampaik­an bantuan kepada 76 ketua isi keluarga mangsa kebakaran membabitka­n 34 rumah atas air di Kampung Air, Batu Sapi, Mac lalu.

Yayasan Nur Jauhar yang dinaungi Yang di-pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, ditubuhkan pada Januari 2012 bagi membantu dan meraikan golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

Seorang lagi penerima bantuan, Abidin Salman, 54, berkata selain untuk persiapan menyambut Aidilfitri, sumbangan itu juga akan digunakan bagi keperluan rawatan tangannya yang masih sakit akibat melecur dalam insiden kebakaran berkenaan.

Bapa kepada lima anak itu berkata, mereka menerima pelbagai sumbangan, termasuk daripada wakil rakyat, Yayasan Sabah dan beberapa pihak susulan kejadian berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia