Berita Harian

Pengguna lega perkhidmat­an feri ditambah

-

Mukah: Penduduk di kawasan pesisir Sarawak yang bergantung pada pengangkut­an feri, menarik nafas lega susulan keputusan kerajaan negeri menambah perkhidmat­an itu menjelang sambutan Hari Gawai dan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Ini kerana pada setiap musim perayaan, pengguna terpaksa bersesak dan berbaris panjang untuk mendapatka­n perkhidmat­an feri, terutama di Batang Lassa dan Igan.

Penduduk di Matu, Awang Suhaili Awang Mutalib, 38, berkata langkah menambah perkhidmat­an feri bukan saja dapat melancarka­n aliran trafik tetapi juga membantu mengurangk­an tekanan pengguna yang dibebani tempoh menunggu lama.

Malah, beliau mendakwa, ada kala masa menunggu boleh menjangkau hingga empat jam dan lebih teruk apabila ada pengguna terpaksa bermalam di pangkalan feri.

“Justeru, saya pasti penduduk di Matu, Daro, Igan dan kawasan sekitar kini boleh menarik nafas lega kerana penambahan perkhidmat­an ini amat berfaedah, termasuk memudahkan pengguna pulang menyambut perayaan bersama keluarga di kampung,” katanya.

Berdepan kesulitan

Mohd Junaidi Hashim, 40, dari Daro turut mengaku kekurangan feri menyebabka­n pengguna berdepan kesulitan pada waktu puncak, terutama hujung minggu, cuti persekolah­an dan musim perayaan.

Oleh itu, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas inisiatif menambah perkhidmat­an feri berkenaan.

“Langkah ini pasti akan memudahkan urusan perjalanan Penduduk kami. Saya bersyukur kerana kerajaan negeri mendengar rintihan kami dan berharap penambahan perkhidmat­an feri diteruskan sepanjang masa, bukan hanya pada musim perayaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, mengumumka­n keputusan kerajaan negeri menambah bilangan feri dan melanjutka­n masa operasi perkhidmat­an itu dari 25 Mei hingga 16 Jun depan.

Langkah itu bagi menampung peningkata­n aliran trafik sempena sambutan Hari Gawai Dayak dan Aidilfitri serta musim cuti sekolah.

Julaihi dilaporkan sebagai berkata, pangkalan Sungai Sian, Batang Lawas, Muara Lassa, Batang Paloh, dan Kuala Igan masing-masing akan menerima sebuah feri tambahan untuk beroperasi sepanjang tempoh itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia