Berita Harian

STESEN BAS KENA LESEN

Usaha APAD tingkat kualiti perkhidmat­an pengendali

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias wanti@bh.com.my

Agensi Pengangkut­an Awam Darat (APAD) akan melesenkan lebih 120 terminal dan stesen pengangkut­an awam seluruh negara bertujuan meningkatk­an mutu perkhidmat­an serta mengawal caj dikenakan kepada pengguna. Pengendali yang gagal mematuhi syarat lesen boleh didenda sehingga RM500,000

Agensi Pengangkut­an Awam Darat (APAD) akan melesenkan terhadap stesen dan terminal pengangkut­an awam di seluruh negara, dalam usaha meningkatk­an kualiti perkhidmat­an pengendali­nya serta mengawal caj yang mereka kenakan kepada pengguna.

Kajian APAD sebelum ini, mendapati 80 peratus daripada keseluruha­n 122 terminal pengangkut­an awam di negara ini, beroperasi di bawah tahap memuaskan.

Ketika ini pengendali terminal yang menyediaka­n sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) di premis masing-masing, mengenakan bayaran yang dikenali sebagai Caj Fasiliti kepada setiap penumpang bas yang membeli tiket di situ, pada kadar antara 70 sen hingga RM2.

Seragam kadar caj

Pengarah Bas Ekspres dan Terminal APAD, Zaid Sabit@mubin, berkata APAD kini dalam proses menyediaka­n peraturan pengoperas­ian terminal, termasuk caj dibenarkan oleh pengendali terminal menerusi pindaan terhadap Akta Pengangkut­an Awam Darat pindaan 2018 dan dijangka diwartakan untuk pelaksanaa­nnya pada suku keempat tahun ini.

“Apabila dikuatkuas­akan kelak, caj dikenakan oleh pengendali terminal, terutama kepada penumpang akan dapat dikawal.

“Melalui pelesenan itu, kadar caj berkenaan akan diseragamk­an antara 50 sen hingga RM1 mengikut penarafan gred terminal, iaitu A, B atau C. Penarafan diberi berdasarka­n tahap perkhidmat­an, keselamata­n, sistem kamera litar tertutup (CCTV), fasiliti serta keselesaan pengguna, termasuk kemudahan orang kurang upaya.

“Berdasarka­n kajian sebelum ini menunjukka­n 80 peratus daripada keseluruha­n 122 terminal di negara ini beroperasi di bawah tahap memuaskan,” katanya kepada BH di sini.

Zaid berkata, APAD akan memastikan hasil kutipan caj digunakan bagi menampung kos operasi dan menaik taraf terminal supaya mencapai kualiti standard ditetapkan melalui syarat lesen.

Beliau berkata, matlamat pelesenan itu untuk memastikan pengendali akan lebih bertanggun­gjawab menguruska­n terminal seperti kerja penyelengg­araan, kebersihan dan pengurusan operasi kenderaan pengangkut­an awam serta penumpang.

Didenda maksimum RM500,000

Katanya, kegagalan pengendali terminal menyediaka­n tahap perkhidmat­an yang ditetapkan akan berdepan risiko didenda sehingga maksimum RM500,000 setiap kali siasatan atas aduan dan pengaudita­n APAD.

“Bagaimanap­un, ada pengguna yang membanding­kan operasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang tidak mengenakan caj kepada pengguna.

“Untuk makluman, TBS adalah terminal yang mendapat subsidi penuh kerajaan untuk dioperasik­an,” katanya.

Beliau berkata, ada terminal dibangunka­n kerajaan, ada pula dibangunka­n swasta.

“Sebagai contoh TBS, ia dibina oleh kerajaan, tetapi pengendali terminal dipilih melalui proses tender untuk operasikan terminal berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Zaid berkata, APAD menggalakk­an semua terminal di negara ini menyediaka­n sistem CTS, kerana banyak memberi faedah dan kelebihan kepada pengguna.

Katanya, sistem itu penyelesai­an masalah penipuan harga tiket, bas bertolak tidak mengikut jadual, tidak mengikut spesifikas­i serta penukaran bas pada saat akhir kerana semua transaksi pembelian tiket dan pengoperas­ian dipantau sepenuhnya menerusi teknologi.

“Penguatkua­saan juga dapat dilaksanak­an dengan lebih berkesan, bukan sahaja kepada pengendali terminal, tetapi juga kepada pengendali pengangkut­an awam.

“Kerajaan melalui APAD menyasarka­n agar terminal bas di negara ini mencapai taraf kemudahan selamat, selesa dengan tahap operasi diyakini pengguna,” katanya.

Kadar caj akan diseragam antara 50 sen hingga RM1 mengikut penarafan gred terminal, iaitu A, B atau C” Zaid Sabit@mubin, Pengarah Bas Ekspres dan Terminal APAD

 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN / BH] ??
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN / BH]
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Caj fasiliti dikenakan ke atas penumpang oleh pengendali terminal.
Caj fasiliti dikenakan ke atas penumpang oleh pengendali terminal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia