Berita Harian

Kebebasan media era Malaysia Baharu

-

Ramai bertanya kandungan artikel saya yang dipilih penerima anugerah utama kategori Penulisan Kolum/rencana Pengarang, Hadiah Kewartawan­an Malaysia MPI Petronas 2018, anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI), pada 26 April lalu.

Empat artikel saya hantar bertajuk: Warkah untuk Yang Berhormat, Betulkah UMNO parti keramat orang Melayu, Rakyat berhak adili Dr M jika Tommy gagal, BN gagal kesan gelombang tsunami rakyat. Semua artikel ditulis selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang berlangsun­g pada 9

Mei 2018.

Sebenarnya menulis sebagai wartawan akhbar arus perdana ketika era pemerintah­an Barisan Nasional (BN) jauh bezanya dibandingk­an pemerintah­an Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dahulu saya kerap juga menulis artikel mengenai ehwal semasa, tetapi hanya sesekali membincang­kan isu politik. Itupun ketika PRU, pilihan raya kecil (PRK) atau perhimpuna­n agung parti, terutama UMNO dan PAS, selain PKR.

Tetapi ketika itu, menulis dalam keadaan tidak selesa. Tambahan pula, polisi akhbar perlu mengikut acuan yang ditetapkan oleh ‘kuasa’ yang memegang tampuk dalam kerajaan ketika itu. Pernah artikel saya mengenai rumusan keputusan PRK Permatang Pauh pada 2008 yang dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim dirombak kerana tidak ‘senada’ dengan kehendak ‘parti dan pemimpin yang berkuasa’. Ketika sedang memandu ke Kuala Lumpur selepas PRK itu selesai, seorang editor kanan menghubung­i saya sambil berseloroh berkata: “Boss boleh kena kalau aku publish (siar) artikel hang”. Saya kemudian berhenti di tepi jalan dan menghubung­i editor berkenaan untuk

mempertaha­nkan tulisan saya.

Saya nyatakan maklumat yang diperoleh adalah daripada lapangan dan komentar saya adalah hasil analisis selama dua minggu berkampung di Permatang Pauh. Seperti dijangka, apabila membaca akhbar esoknya, beberapa bahagian dalam artikel saya ‘dipadam’ dan sehari selepas itu saya tidak datang bekerja kerana kecewa.

Kekangan oleh kuasa luar suatu masa dahulu antara punca media arus perdana hilang kredibilit­i, keyakinan dan kepercayaa­n pembaca. Akibatnya, jualan akhbar menjunam jatuh dan jumlah penonton siaran televisyen merudum.

Buat pertimbang­an sendiri

Selepas 9 Mei 2018, ia telah berubah. Berlaku reformasi dalam media. Editor tidak lagi dibelenggu dengan kerisauan menerima panggilan telefon daripada mereka yang memegang tampuk kuasa. Tiada lagi arahan atau ‘wahyu’ daripada pemegang kuasa di Putrajaya.

Editor boleh membuat pertimbang­an sendiri dalam menyiarkan artikel mahupun membuat laporan yang berkaitan dengan pentadbira­n kerajaan. BH yang kini diterajui bekas pengarang kanan, Khaidir A Majid sebagai Pengarang Kumpulan juga telah berubah.

BH mengamalka­n konsep 3P, yakni Prinsip, Polisi dan Prosedur. Prinsip kita adalah menjadi akhbar yang mampu membentuk masyarakat progresif dan bertanggun­gjawab. Polisi kita menyiarkan laporan seimbang, adil dan tepat.

Bagi mencapai hasrat itu, prosedur yang perlu diamalkan antara lain laporan mesti memuatkan pelbagai jenis sumber atau sudut pandangan, ketepatan berdasarka­n daripada sumber sahih.

Setiap dakwaan terhadap seseorang atau mana-mana pihak perlu dilaporkan dalam atau diberikan hak untuk menjawab. BH juga memastikan wartawanny­a perlu telus dengan pembaca dan tidak harus berkomprom­i oleh kepentinga­n komersial atau politik.

Kesimpulan­nya, untuk menjadi media yang berwibawa dan mampu membentuk masyarakat Malaysia Baharu sebenar, syarikat media perlu menyiarkan laporan yang benar dan tidak mengikut telunjuk pemegang kuasa politik semata-mata.

Namun, ia ada hadnya dan tidak menggunaka­n kebebasan media secara membuta tuli sehingga mencetus sentimen kaum dan agama serta menggugat keamanan dan kestabilan negara. Bagi menjawab mereka yang bertanya mengenai artikel saya yang dipilih menerima anugerah MPI, mereka boleh google tajuk laporan yang dinyatakan di atas dengan melayari laman web

BH di www.bharian.com.my.

Secara ringkas, boleh saya nyatakan artikel yang ditulis selepas PRU14 itu dihasilkan secara bebas dan terbuka tanpa bimbang menerima panggilan telefon daripada pemegang tampuk kekuasaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia