Berita Harian

Elak hutang, membazir sambut Syawal

-

S:

Boleh Datuk Seri kongsi cara dan adab yang betul atau sesuai untuk menyambut Hari Raya?

J: Kita sebagai seorang Islam apabila mendapat berita mengenai anak bulan kelihatan atau diisytihar­kan hari raya, maka pertama yang sepatutnya kita lihat ialah kita bertakbir kepada Allah kerana Allah berfirman yang bermaksud “Dan hendaklah kamu bertakbir kepada Allah di atas petunjuk yang Allah tunjukkan kepada kamu. Begitu juga hadis yang bermaksud ‘Hiasi hari raya kamu dengan takbir”. Di samping kita gema dengan takbir, kita juga tiada masalah untuk membuat persiapan raya, berhias rumah dan langsir mengikut kemampuan, apa yang dirasakan keperluan di samping masak lemang dan sebagainya. Islam mengizinka­n, malah menggalakk­an ziarah-menziarah kunjung bersama-sama. Jangan lupa adab penting adalah mandi sunat hari raya dan perbanyakk­an zikir. Amalan ini juga akan hidupkan raya dengan bertasbih, zikir dan Istighfar yang mampu, kemudian pilih pakaian terbaik yang ada dalam simpanan atau yang munasah.

Selepas itu, bawa anak isteri dan seluruh keluarga ke masjid dan surau dengan kita gemakan lagi takbir. Kita pergi ke masjid dengan penuh semangat dan perasaan gembira suka, meraikan sahabat kita yang lain, bermaafan dan bersalaman. Kita tunggu khutbah raya dengan sembahyang raya dan ikut apa yang dinasihatk­an oleh iman dan khatib. Sebelum itu, kita pastikan zakat diselesaik­an terutama zakat fitrah kerana hadis bermaksud, “zakat fitrah ini adalah pembersiha­n kepada orang yang berpuasa dan juga penyucian ibadat puasa dan juga beri makan kepada orang miskin”. Selesai itu kita bersama-sama bersalaman dan bermaafan. Majlis rumah terbuka adalah amat digalakkan kerana ia termasuk memuliakan tetamu dengan menjamu makan yang digalakkan dalam Islam. Perkara yang paling penting untuk kita cakna ialah anak yatim, orang miskin dan fakir. Jika ada lebih kewangan, beri kepada mereka, santuni mereka, sayangi mereka, cari baju, bagi duit satu ringgit dua, RM5, RM10, ikut kemampuan. Selain itu juga ziarah mereka untuk bersama-sama memahami dan tengok keadaan mereka. Insya-allah.

S:

Pada hari ini, masyarakat cenderung untuk boros dan berlebihan ketika Ramadan dan membuat persiapan hari raya. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Saya melihat perkara ini kepada dua sudut. Yang pertama jika dia ada kemampuan, maka dia boleh membeli sebanyak mana yang dia nak beli. Tetapi dengan ada niat untuk bawa ke masjid, surau atau anak yatim dan fakir miskin itu, maka itu termasuk dalam hadis, yang bermaksud ‘sesiapa yang menjamu orang berbuka puasa, maka baginya pahala orang itu dan pahala orang itu tidak berkurang sikit pun’. Yang kedua, tak mampu tetapi nak berlebihan, nak bazir atau nak riak atau nak menunjuk. Ini sifat tidak baik, maka ini sepatutnya kita elak, sifat tidak baik. Kita kena memahami denyut nadi masyarakat yang tidak berkemampu­an.

S:

Antara budaya, tradisi dan sunah serta kewajipan ketika menyambut hari raya, apa yang Datuk Seri rasa masyarakat kita semakin hilang nilai itu?

J: Antara perkara yang semakin hilang nilai ialah ziarah-menziarahi kerana sibuk dengan alat gajet moden dan juga siaran yang kadang-kadang dilalaikan. Itu satu hal, yang kedua, bila tetamu datang, acuh tak acuh dan tidak mahu nak sambut. Yang ketiga, tidak sesuai juga kita budayakan pada hari raya untuk melancong, sedangkan kita boleh beraya, adat kita untuk menziarahi terutamany­a ibu bapa, keluarga dan saudara lain yang mungkin amat sukar untuk kita ziarah pada hari lain. Kalau fenomena ini masih berlaku, ia membawa kesan kurang baik dan mencacatka­n sehingga menghilang­kan nilai ketimuran dan kemelayuan yang sudah wujud sekian lama dan diwarisi daripada nenek moyang.

S:

Masyarakat Malaysia dikatakan semakin berlebih-lebihan setiap kali menyambut perayaan termasuk dikatakan menyambut hari raya selama sebulan sehingga melupakan apa yang sunat dan apa yang dianggap sebagai dosa dan boros sehingga timbul perasaan ingin menunjuk kekayaan dan kemampuan. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Saya melihat dalam isu ini apa yang berlaku, dia bukan sambut sebulan, tetapi dia pergi rumah kawan-kawan. Biasanya setiap orang buat rumah terbuka sekali atau dua kali kalau rumah sempit dan ramai orang atau tiga kali kerana ada kawan yang dia nak rai. Bagi saya konsep itu, pertamanya kita lihat kadar kemampuan dan lihat kepada suasana apa yang perlu. Ziarahmenz­iarah ini penting, cuma pastikan kalau boleh pada Syawal ini kita dapat berpuasa sunat Syawal. Kalau kita menziarah, janganlah kita nak pilih rumah orang kaya sahaja, orang miskin pun kita kena ziarah dan orang miskin pun perlu kita santuni. Suasana seperti itu sihat dan baik tetapi hendaklah dipandu ke arah yang penuh dengan etika dan adab.

S:

Bagaimana, jika orang sambut hari raya sehingga sanggup berhutang?

J: Saya melihat kalau hutang ini ada dua iaitu satunya hutang yang dia mampu bayar tetapi kebetulan dia terlepas sedikit, maka itu boleh dikira dimaafkan. Tetapi kalau dia berhutang akhirnya membawa kepada terbeban hutang yang melampau, perkara ini sebenarnya tidak wajar sama sekali, bahkan ia hendaklah dielakkan.

S:

Boleh Datuk Seri kongsikan apa kesalahan atau kemungkara­n yang biasa dilakukan ketika Hari Raya dan sepatutnya dielakkan?

J: Yang pertama sekali kadangkada­ng bila beraya sakan sampai tidak bersembahy­ang, mengabaika­n Rukun Islam yang ini, orang datang ke rumah sehingga kita lalai. Yang kedua, bila kita tengok aurat terdedah, sebenarnya tidak baik. Yang ketiga kita berhibur dan berhibur sampai lupa hakikat bahawa kita juga sebaiknya ada tugas sebagai hamba Allah. Jadi dibataskan untuk berhibur. Akhir sekali, kadang-kadang pada hari raya, kita berada di satu rumah itu terlalu lama sehingga mengganggu konsentras­i tuan rumah dan tidak selesa atau seterusnya mengkritik makanan yang dihidangka­n. Kita hendak berseronok, berkasih sayang dan hendak tunjuk sifat kemaafan dan budi pekerti baik.

S:

Boleh Datuk Seri kongsikan antara amalan sunah terbaik ketika menyambut Aidilfitri?

J: Yang pertama ziarah dan minta maaf, bersalam dan bertemu dengan kawan, mengucapka­n tahniah antara satu sama lain. Begitu juga kalau boleh seseorang bila beraya, walaupun singkat tetapi ada makna. Maknanya pergi rumah orang bukan lama tetapi sekejap selepas itu pergi ke tempat lain. Bertemu untuk bermaafan dan bukan buka cerita sehingga akhirnya jadi topik yang boleh melukakan perasaan seseorang.

S:

Bagaimana cara terbaik untuk mengakhiri Ramadan kita?

J: Yang terbaik mengakhiri Ramadan ialah dengan kita gandakan ibadah kerana ini yang Rasulullah lakukan. Kedua cuba selesaikan ibadat sunat yang perlu seperti sembahyang sunat, mengaji al-quran untuk khatam dan memperbany­akkan istiqafar dan perbanyakk­an doa. Itu antara perkara yang boleh kita lakukan.

S:

Apa nasihat kepada orang ramai bagi menjalani ibadah Ramadan dan hari raya?

J: Pertama, nasihat saya kepada diri saya dan sahabat, buat pertimbang­an menyambut Hari Raya mengikut kadar kemampuan. Kedua, elakkan hutang yang melampau. Ketiga, santuni seseorang berdasarka­n kemampuan. Begitu juga dalam hendak mengagihka­n duit raya, kena ikut kemampuan, ada orang mampu bagi RM1, RM5 atau ada orang tidak mampu, sedikit. Jadi jangan kita memaksa memberi duit raya sehingga akhirnya menjadikan kita terbeban kemudian hari. Kemudian bincang baik-baik dengan keluarga sama ada nak beraya rumah mana, tempat mana, ke mana, nak pulang ke rumah mana dulu supaya tidak timbul konflik kekeluarga­an dan bergaduh. Kita hendak bergembira, tetapi kita bergaduh, bermasam muka dan ini mungkin berlaku kepada perkara tidak diingini sehingga ke tahap perceraian. Begitu juga antara perkara yang kita boleh lakukan hendaklah menjadikan Hari Raya untuk syukuri nikmat Allah. Sepekara yang selalu saya sebut bahawa bila hari raya, kita kena ingat anak yatim, orang miskin, orang susah dan fakir. Maka itulah sasaran kita hendak menggembir­akan mereka dan kita bantu mereka seadanya.

 ??  ?? Zulkifli Mohamad Al-bakri, Mufti Wilayah Persekutua­n
Zulkifli Mohamad Al-bakri, Mufti Wilayah Persekutua­n

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia