Berita Harian

Remaja parah tak tahu ibu bapa meninggal

-

Kuala Terengganu: Seorang remaja, Nurul Nadirah Anuar, 14, anak bongsu pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kuala Nerus, semalam, belum mengetahui dirinya menjadi yatim piatu.

Dia yang patah kedua-dua paha dalam kemalangan itu, sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sepupu bapa Nurul Nadirah, Hufaizal Hussin, 37, berkata ketika melawat mangsa di hospital tengah hari semalam, remaja itu bertanyaka­n keadaan ibu dan bapanya, Anuar Said, 59, dan Che Khasliza Che Hussin, 53.

“Dia tanya keadaan ibu bapanya, tetapi saya tidak sampai hati hendak beritahu memandangk­an keadaannya yang cedera teruk dengan patah kedua-dua paha dan cedera di muka.

Pujuk makan ubat

“Saya cuma pujuk dia makan ubat dan berehat supaya cepat sembuh. Nurul Nadirah yang bersekolah di Dungun memang terlalu rapat dengan ibunya.

“Beberapa kali dia asyik menyebut mengenai ibunya, tetapi saya hanya diam dan minta dia berehat serta makan ubat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ, di sini, semalam.

Ketika kejadian, Nurul Nadirah bersama ibu bapanya dalam perjalanan dari Dungun ke Besut untuk menziarahi sepupu Anuar yang meninggal dunia kelmarin, manakala kakak dan abangnya yang berusia 17 dan 21 tidak ikut serta.

Hufaizal dari Sura, Dungun, berkata dia mengetahui mengenai kejadian menerusi laman sosial Facebook, namun tidak menyangka ia membabitka­n ahli keluargany­a.

“Saya juga ada ‘missed call’ daripada Anuar jam 1.08 pagi tadi. Mungkin dia hubungi untuk maklumkan mengenai kematian sepupu kami di Besut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia