Berita Harian

Kehilangan dua nelayan timbulkan tanda tanya

-

Pontian: Kehilangan dua nelayan di Pulau Pisang sejak tiga hari lalu mencetuska­n tanda tanya apabila tiada jejak ditemui kecuali barangan peribadi mereka yang dijumpai di sebuah kapal yang tersadai.

Sumber memberitah­u, anggota penyelamat yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) menjejaki Mohd Khir Ismail, 36, dan rakannya, Yusni Mohd Yusof, 36, tidak menemui sebarang petunjuk atau kesan kehilangan mereka.

“Selepas sejam operasi dijalankan semalam (kelmarin) dan disambung dari jam 9.30 pagi tadi (semalam), anggota SAR masih tidak menemui sebarang kesan bot gentian kaca mahupun kedua-dua mangsa yang hilang.

“Ia sekali gus menimbulka­n misteri kerana jika sebarang kejadian yang menimpa bot mahupun keduadua mangsa, pasti boleh dikesan dan ditemui,” katanya.

Hilang selepas turun ke laut

Dalam kejadian jam 5.30 petang Khamis lalu, Mohd Khir dan rakannya, Yusni gagal dikesan selepas turun ke laut menyebabka­n keluargany­a membuat laporan polis.

Mereka dipercayai hilang selepas menaiki bot untuk menjaring ikan selain mengambil stok air minuman dari sebuah kapal yang tersadai di Pulau Pisang, yang dilaporkan rosak di situ sejak awal Ramadan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor berkata, seramai 10 anggota pasukan itu dibantu lima jentera termasuk dua bot terbabit dalam operasi berkenaan.

“Pasukan SAR sudah bergerak ke lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada iaitu di kawasan kapal yang dilaporkan tersadai.

“Jarak dianggarka­n dari Pusat Kawalan Bomba ke Kapal tersadai ialah lapan batu nautika atau 15 kilometer.

“Namun tiada sebarang tanda atau kesan adanya sesuatu yang boleh dikaitkan dengan kehilangan mereka. Bagaimanap­un operasi diteruskan dengan menyusur di tepi pantai serta membuat carian di permukaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia