Berita Harian

Belajar buat parang ikut Youtube, kawan

Abu Golok kini terima tempahan dari seluruh negara, Brunei

- Oleh Junita Mat Rasid

Bermula belajar dengan kawan dan menonton Youtube untuk membuat parang, kini Abu Hassan Ahmad, 43, menerima tempahan parang dari seluruh negara dan Brunei.

Nama Abu Hassan atau Abu Golok tidak asing lagi bagi penduduk FELDA Sungai Behrang dekat sini dan kawasan sekitarnya, berikutan kemahirann­ya dalam pembuatan parang.

Minat mendalam terhadap pertukanga­n

mendorong Abu Hassan berhenti kerja sebagai operator kilang, bagi menumpukan sepenuh masa sebagai pembuat parang atau golok.

Abu Hassan yang lebih dikenali sebagai Abu berkata, beliau membuka bengkel pertukanga­n di belakang rumah ibunya di tanah rancangan itu dua tahun lalu, bagi menampung permintaan pelanggan.

Minat buat parang

“Sebelum ini, saya hanya membuat parang dan sarungnya secara sambilan. Bagaimanap­un, kerana minat mendalam, saya berhenti kerja dua tahun lalu dan menjadi tukang parang sepenuh masa.

“Kerja buat parang kena teliti dan minat. Kerana minat saya rasa gembira dengan tugas ini.

“Kalau tak minat, tak boleh bertukang. Mesti tak jadi. Hanya orang yang minat dan ada kemahiran boleh bertukang,” katanya.

Abu berkata, beliau mengambil masa kira-kira lima tahun mempelajar­i teknik membuat parang menerusi Youtube, selain pada awalnya belajar dari rakan sebelum mengambil keputusan menjadikan­nya kerjaya tetap.

“Pada mulanya saya hanya tengok kawan buat parang, selepas itu saya cuba dan kawan jual parang itu. Ketika itu saya sedar parang yang saya buat juga mendapat permintaan.

“Sejak itu, saya mula berminat membuat parang dan terus mempelajar­i teknik dengan kawan dan melihat Youtube. Ketika itu saya hanya menjadikan pembuatan parang sebagai kerja sambilan.

“Susulan tempahan parang yang banyak, saya ambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan perhatian sepenuhnya membuat parang,” katanya.

Abu berkata, setiap parang dijual antara RM200 hingga RM800, bergantung kepada jenis kayu serta besi ditempah dan mampu disiapkan dalam tempoh sehari hingga dua hari.

Beliau mengakui tidak ramai generasi muda berminat menjadi tukang buat parang dan gembira apabila anak sulungnya, Mohammad Amirul Hafiz yang sedang menunggu keputusan peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membantuny­a di bengkel selain menunjukka­n minat dalam bidang itu.

Katanya, beliau mengambil masa bertahun-tahun untuk mahir bertukang daripada rakannya dan berharap anaknya turut belajar kemahiran itu, walaupun tidak menjadikan­nya sebagai kerjaya.

 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] ?? Antara koleksi parang dihasilkan Abu Hassan di FELDA Sungai Behrang dekat Tanjung Malim.
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] Antara koleksi parang dihasilkan Abu Hassan di FELDA Sungai Behrang dekat Tanjung Malim.
 ??  ?? Abu Hassan Ahmad
Abu Hassan Ahmad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia