Berita Harian

Pochettino bermotivas­i terus kekal

-

London: Mauricio Pochettino memberikan Tottenham Hotspur kelegaan apabila menyatakan ‚saya amat bermotivas­i untuk kekal‘.

Pengurusan tertinggi Spurs difahamkan berjaya meyakinkan pengendali kelahiran Argentina itu untuk terus berjuang bersama kelab dan beliau diberikan akses menyeluruh terhadap perancanga­n pasukan di dalam dan luar padang.

Pelantikan Ole Gunnar Solskjaer di Manchester United dan Zinedine Zidane di Real Madrid turut dilihat menutup ruang buat Pochettino untuk berpindah tetapi kekosongan jawatan di Juventus mencetus sedikit keresahan.

Begitupun menjelang aksi final Liga Juara-juara menentang Liverpool, 2 Jun ini, Pochettino mengesahka­n kesetiaann­ya dengan berkata: “Tottenham hari ini adalah untuk saya, kelab terbaik di dunia apabila kita bercakap mengenai kemudahan.

“Pusat latihan dan stadium baharu, adalah yang terbaik di dunia, tiada kelab yang lebih baik. Dan selepas itu, ia berada di London, tiada bandar yang lebih baik, ia di England dan bersaing di Liga Perdana Inggeris, liga paling sukar dan menarik.

“Kami perlu membuat langkahan ke depan dan sudah tentu kami sedar yang kami boleh meneruskan proses ini dan kami boleh meletakkan Tottenham setaraf dengan pasukan-pasukan terbaik di dunia.

“Ada banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi sudah tentu saya amat bermotivas­i untuk kekal dengan Tottenham dan menyediaka­n pasukan dengan apa yang mereka layak dapat.”

Kontrak sedia ada Pochettino mengekalka­nnya di Spurs sehingga 2023 dan ia diikuti dengan lanjutan selama lima tahun yang ditandatan­ganinya musim panas lalu.

Pochettino sering membuatkan peminatnya resah termasuk menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-juara menentang Ajax apabila memberitah­u dia mungkin akan angkat kaki dari Spurs jika mereka menjulang trofi dan menegaskan ia bukan gurauan.

Begitupun, komen berkenaan dilihat sebagai permainan minda pengendali itu dengan Pengerusi Spurs, Daniel Levy dalam usaha menjadikan kelab itu lebih baik.

“Kini adalah mengenai menamatkan Liga Juara-juara dan kemudian kita akan bercakap bagaimana untuk membuat langkahan ke depan. Ia membabitka­n kami, pemilik dan Levy.” AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia