Berita Harian

‘Penyediaan dana urusan sendiri’

-

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seharusnya tidak dipersalah­kan susulan kemelut kewangan yang melanda pasukan selain ketiadaan slot automatik untuk promosi ke Liga Perdana bagi saingan Liga M3 musim ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankua­sa Pertanding­an Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, berkata semua 14 pasukan yang bertanding dalam saingan divisyen tiga itu sudahpun dimaklumka­n mengenai ketiadaan bantuan kewangan selain perlu mengharung­i aksi play-off bagi mendapat tiket ke saingan Liga Perdana.

“Saya difahamkan ketika perjumpaan dengan semua pasukan Liga M3, pertanding­an itu lebih kepada bersifat amatur jika diikutkan konsep yang diitetapka­n MFL.

“Penyediaan dana adalah lebih daripada pasukan sendiri. Semua pasukan sudah diberikan penjelasan dan memandangk­an ia adalah saingan amatur, sebab itulah tiada pengagihan geran ataupun sebagainya.

Tidak jejas operasi

”Bagi aksi play-off, ia sudah diputuskan ketika perjumpaan kita dengan MFL di mana mereka mahu melihat sama ada pasukan yang hendak dipromosi bersedia sepenuhnya dari segi kewangan memandangk­an mereka tidak mahu masalah berlaku di kemudian hari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Selangor United bersama media di Ampang, kelmarin.

Dalam perkembang­an lain, Mohd Firdaus yang juga Presiden Selangor United menegaskan isu ‘geran sangkut’ yang dialami semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak menjejaska­n perjalanan operasi mereka buat musim ini.

“Buat masa ini, kita tidak berdepan kekangan kewangan di mana kita sudah membayar tujuh bulan gaji kepada pemain. Kita tidak berbelanja tinggi seperti pasukan lain.

“Kita memang ada peruntukan sehingga berakhirny­a musim ini. Apapun, saya percaya MFL sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mengagihka­n geran tahunan seperti yang dijanjikan,” katanya.

Sebagai pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana, Selangor United layak menerima geran tahunan sebanyak RM1 juta.

 ??  ?? Mohd Firdaus Mohamed
Mohd Firdaus Mohamed

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia